7. Mereka menjawab, “Orang itu tidak berhenti-henti bertanya tentang kami dan keluarga kita. Katanya, ‘Masih hidupkah bapa kamu? Adakah kamu mempunyai adik lelaki lain?’ Kami terpaksa menjawab segala pertanyaannya. Bagaimana kami tahu bahawa dia akan menyuruh kami membawa adik kami?”
8. Oleh itu Yehuda berkata kepada bapanya, “Benarkanlah anak itu ikut dengan saya. Kami akan berangkat dengan segera supaya tiada seorang pun antara kita mati kebuluran.
9. Sayalah penjaminnya. Ayah boleh mempertanggungjawabkan Benyamin kepada saya. Jika saya tidak membawa dia kembali dengan selamat, saya akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya.
10. Seandainya kita tidak menunggu begitu lama, pasti kami telah dua kali pulang-balik.”
11. Kemudian bapa mereka berkata, “Jika memang harus begitu, bawalah hasil yang terbaik dari negeri ini. Masukkanlah semuanya ke dalam karung kamu dan hadiahkanlah kepada gabenor itu. Bawalah damar, madu, rempah ratus, kacang pistasio, dan buah badam.
12. Bawalah juga wang dua kali ganda, kerana wang yang ditemukan di dalam karung kamu itu mesti dikembalikan. Mungkin itu suatu kesilapan.
13. Bawalah juga adik kamu dan kembalilah dengan segera.
14. Semoga Allah Yang Maha Kuasa membuat gabenor itu kasihan kepada kamu, sehingga dia mahu mengembalikan Benyamin dan Simeon. Bagi aku, jika memang aku harus kehilangan anak-anakku, apa boleh buat.”
15. Kemudian saudara-saudara Yusuf membawa semua hadiah itu dan wang dua kali ganda, lalu berangkat ke Mesir bersama dengan Benyamin. Setelah sampai di sana, mereka menghadap Yusuf.
16. Apabila Yusuf nampak Benyamin dan abang-abangnya, dia berkata kepada hamba yang mengurus rumah tangganya, “Bawalah semua orang itu ke rumahku. Mereka akan makan bersama dengan aku tengah hari ini. Sembelihlah seekor ternak lalu siapkanlah itu.”
17. Hamba itu melaksanakan perintahnya dan membawa saudara-saudara Yusuf ke dalam rumah Yusuf.
18. Ketika mereka dibawa ke dalam rumah Yusuf, mereka takut dan berfikir, “Kita dibawa ke sini kerana wang yang di dalam karung kita pada masa kita datang ke sini dahulu. Mereka akan menangkap kita dengan tiba-tiba, lalu mengambil keldai kita dan menjadikan kita abdi.”