Kejadian 42:8-18 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Meskipun Yusuf mengenali abang-abangnya, mereka tidak mengenali dia.

9. Kemudian dia teringat akan mimpi-mimpinya tentang mereka, lalu dia berkata, “Kamu ini pengintip; kamu datang untuk menyiasat kelemahan negeri kami.”

10. Mereka menjawab, “Tidak, tuan. Kami, hamba-hamba tuan, datang hanya untuk membeli makanan.

11. Kami ini bersaudara, tuan. Kami orang jujur, bukan pengintip.”

12. Yusuf berkata kepada mereka, “Tidak! Kamu datang ke sini untuk menyiasat kelemahan negeri ini.”

13. Mereka menjawab, “Tuan, kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, di negeri Kanaan. Seorang daripada kami sudah meninggal dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami.”

14. Yusuf menjawab, “Memang benar seperti kataku, kamu ini pengintip.

15. Aku mahu menguji kamu. Aku bersumpah demi nama raja bahawa kamu tidak akan meninggalkan negeri ini kecuali adik kamu yang bongsu itu datang ke sini.

16. Seorang daripada kamu harus pulang untuk membawanya ke mari. Sementara itu, kamu yang lain akan ditahan sampai kata-kata kamu itu terbukti benar. Jika tidak, demi nama raja, kamu ini pengintip!”

17. Kemudian mereka dimasukkan ke dalam penjara selama tiga hari.

18. Pada hari yang ketiga Yusuf berkata kepada mereka, “Aku orang yang takut dan taat kepada Allah. Aku akan menyelamatkan kamu dengan satu syarat.

Kejadian 42