Kejadian 41:33-44 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

33. Oleh sebab itu, sebaiknya tuanku memilih seorang yang cerdas dan bijaksana lalu memberinya kuasa untuk mengurus negeri ini.

34-35. Tuanku perlu juga melantik pegawai-pegawai lain, dan memberi mereka kuasa untuk memungut seperlima daripada segala tuaian gandum selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum, lalu menyimpannya di kota-kota dan menjaganya.

36. Gandum itu akan menjadi simpanan makanan untuk masa kebuluran selama tujuh tahun di Mesir. Dengan demikian rakyat tidak akan mati kebuluran.”

37. Raja dan para pegawainya menyetujui cadangan Yusuf itu.

38. Kemudian raja bertitah kepada mereka, “Tidak mungkin kita mendapatkan orang lain yang lebih sesuai daripada Yusuf, kerana dia dipimpin oleh Roh Allah.”

39. Oleh itu raja bertitah kepada Yusuf, “Allah sudah memberitahukan segala perkara ini kepadamu, kerana itu jelaslah bahawa kamu lebih cerdas dan bijaksana daripada sesiapa pun.

40. Beta melantik kamu menjadi gabenor, dan segenap rakyat akan mentaati perintahmu. Hanya beta yang lebih berkuasa daripadamu.”

41-42. Selepas itu raja menanggalkan cincin yang berukir meterai kerajaan dari jarinya. Raja menyarungkan cincin itu pada jari Yusuf sambil bertitah, “Dengan ini beta melantik kamu menjadi gabenor seluruh Mesir.” Kemudian raja mengenakan sehelai jubah linen yang halus pada Yusuf, dan mengalungkan seutas rantai emas pada lehernya.

43. Kemudian raja memberikan kereta kuda diraja yang kedua kepada Yusuf sebagai kenderaannya, dan pengawal kehormat diraja berjalan di hadapan kereta kuda itu sambil berseru-seru, “Beri jalan! Beri jalan!” Demikianlah Yusuf dilantik menjadi gabenor seluruh Mesir.

44. Raja bertitah kepadanya, “Betalah raja – dan beta mengumumkan bahawa tanpa izinmu tiada seorang pun di seluruh Mesir boleh melakukan apa-apa.”

Kejadian 41