25. Kemudian Yusuf berkata kepada raja, “Kedua-dua mimpi itu mempunyai erti yang sama; Allah sudah memberitahu tuanku apa yang akan dilakukan-Nya.
26. Tujuh ekor lembu yang gemuk itu melambangkan tujuh tahun. Tujuh bulir gandum yang berisi itu melambangkan tujuh tahun juga; kedua-duanya mempunyai erti yang sama.
27. Tujuh ekor lembu yang kurus, yang muncul kemudian, serta tujuh bulir gandum yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun itu melambangkan masa kebuluran selama tujuh tahun.
28. Sebagaimana hamba katakan kepada tuanku, Allah sudah menyatakan apa yang akan dilakukan-Nya.
29. Seluruh negeri Mesir akan kelimpahan gandum selama tujuh tahun.
30-31. Selepas itu kebuluran akan berlaku selama tujuh tahun. Masa kelimpahan gandum itu akan dilupakan sama sekali kerana kebuluran itu sangat dahsyat sehingga negeri ini menjadi tandus.
32. Tuanku bermimpi dua kali; hal itu bermakna bahawa perkara itu telah ditetapkan oleh Allah, dan Allah akan melaksanakannya dengan segera.
33. Oleh sebab itu, sebaiknya tuanku memilih seorang yang cerdas dan bijaksana lalu memberinya kuasa untuk mengurus negeri ini.
34-35. Tuanku perlu juga melantik pegawai-pegawai lain, dan memberi mereka kuasa untuk memungut seperlima daripada segala tuaian gandum selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum, lalu menyimpannya di kota-kota dan menjaganya.
36. Gandum itu akan menjadi simpanan makanan untuk masa kebuluran selama tujuh tahun di Mesir. Dengan demikian rakyat tidak akan mati kebuluran.”
37. Raja dan para pegawainya menyetujui cadangan Yusuf itu.
38. Kemudian raja bertitah kepada mereka, “Tidak mungkin kita mendapatkan orang lain yang lebih sesuai daripada Yusuf, kerana dia dipimpin oleh Roh Allah.”
39. Oleh itu raja bertitah kepada Yusuf, “Allah sudah memberitahukan segala perkara ini kepadamu, kerana itu jelaslah bahawa kamu lebih cerdas dan bijaksana daripada sesiapa pun.
40. Beta melantik kamu menjadi gabenor, dan segenap rakyat akan mentaati perintahmu. Hanya beta yang lebih berkuasa daripadamu.”
41-42. Selepas itu raja menanggalkan cincin yang berukir meterai kerajaan dari jarinya. Raja menyarungkan cincin itu pada jari Yusuf sambil bertitah, “Dengan ini beta melantik kamu menjadi gabenor seluruh Mesir.” Kemudian raja mengenakan sehelai jubah linen yang halus pada Yusuf, dan mengalungkan seutas rantai emas pada lehernya.
43. Kemudian raja memberikan kereta kuda diraja yang kedua kepada Yusuf sebagai kenderaannya, dan pengawal kehormat diraja berjalan di hadapan kereta kuda itu sambil berseru-seru, “Beri jalan! Beri jalan!” Demikianlah Yusuf dilantik menjadi gabenor seluruh Mesir.
44. Raja bertitah kepadanya, “Betalah raja – dan beta mengumumkan bahawa tanpa izinmu tiada seorang pun di seluruh Mesir boleh melakukan apa-apa.”
45. Raja memberikan nama Mesir kepada Yusuf, iaitu Zafnat-Paaneah. Baginda juga memberikan seorang isteri kepada Yusuf. Isterinya itu bernama Asnat, anak Potifera yang menjadi imam di kota Heliopolis.
46. Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia mula berkhidmat kepada raja Mesir. Yusuf meninggalkan istana raja lalu pergi ke seluruh negeri itu.