Kejadian 4:15-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

15. Tetapi TUHAN berfirman, “Tidak. Jika engkau dibunuh, maka sebagai pembalasan, tujuh orang termasuk pembunuhmu itu akan dibunuh juga.” Kemudian TUHAN membubuhkan suatu tanda pada Kain supaya sesiapa sahaja yang menjumpai dia tidak membunuhnya.

16. Maka Kain pergi dari hadirat TUHAN, lalu tinggal di tanah yang bernama “Pengembaraan” di sebelah timur Eden.

17. Kain dan isterinya mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Henokh. Kemudian Kain membina sebuah kota dan menamakan kota itu menurut nama anak lelakinya.

18. Henokh mempunyai seorang anak lelaki bernama Irad. Irad bapa Mehuyael, Mehuyael bapa Metusael, dan Metusael bapa Lamekh.

19. Lamekh mempunyai dua orang isteri, Ada dan Zila.

20. Ada melahirkan Yabal. Keturunan Yabal ialah bangsa yang memelihara ternakan dan tinggal di khemah.

21. Adik Yabal bernama Yubal. Keturunan Yubal ialah pemuzik yang memainkan kecapi dan seruling.

22. Zila melahirkan Tubal-Kain. Keturunan Tubal-Kain membuat pelbagai perkakas daripada gangsa dan besi. Adik perempuan Tubal-Kain bernama Naama.

23. Lamekh berkata kepada isterinya, “Ada dan Zila, dengarlah kataku. Aku sudah membunuh seorang pemuda kerana dia memukul aku.

24. Jika tujuh orang dibunuh sebagai pembalasan terhadap orang yang membunuh Kain, tujuh puluh tujuh orang akan dibunuh jika aku dibunuh.”

25. Adam dan isterinya mendapat seorang anak lelaki lagi. Hawa berkata, “Allah sudah mengurniai aku seorang anak lelaki untuk menggantikan Habel yang dibunuh oleh Kain.” Maka Hawa menamakan anaknya Set.

26. Set mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Enos. Pada zaman itulah orang mula menyebut nama TUHAN apabila beribadat.

Kejadian 4