7. Kelakuan Er sangat jahat sehingga TUHAN murka kepadanya, lalu membunuh dia.
8. Kemudian Yehuda berkata kepada Onan adik Er, “Pergilah kepada balu abangmu, dan tidurlah dengan dia. Lakukanlah kewajipanmu terhadap dia kerana kamu adik suaminya; dengan demikian abangmu boleh mendapat keturunan.”
9. Tetapi Onan tahu bahawa anaknya nanti tidak akan menjadi kepunyaannya. Oleh itu setiap kali dia bersetubuh dengan balu abangnya itu, dia membiarkan air maninya meleleh di luar supaya abangnya tidak mempunyai keturunan.
10. Perbuatannya itu menyebabkan TUHAN murka, lalu TUHAN membunuh dia juga.
11. Kemudian Yehuda berkata kepada Tamar, menantunya, “Baliklah ke rumah bapamu dan tinggallah di situ sebagai balu sehingga anakku Syela dewasa.” Yehuda berkata demikian kerana takut jangan-jangan Syela akan dibunuh juga, seperti kedua-dua orang abangnya. Oleh itu Tamar pulang ke rumah bapanya.
12. Beberapa lama kemudian isteri Yehuda meninggal. Apabila masa berkabung berakhir, Yehuda mengajak Hira, temannya dari Adulam itu, pergi ke Timna, tempat menggunting bulu dombanya.
13. Tamar mendapat khabar bahawa Yehuda, bapa mentuanya akan datang ke Timna untuk menggunting bulu dombanya.
14. Oleh itu Tamar mengganti pakaian balunya dengan pakaian lain. Dia menutup mukanya dengan sehelai tudung, lalu duduk di pintu gerbang kota Enaim, yang terletak di jalan menuju ke Timna. Tamar tahu bahawa Syela, anak Yehuda yang bongsu sudah dewasa, tetapi dia belum juga dikahwinkan dengan pemuda itu.
15. Apabila Yehuda melihat Tamar, dia menyangka perempuan itu seorang pelacur kerana mukanya bertudung.
16. Oleh itu Yehuda menghampirinya di pinggir jalan dan berkata, “Berapakah yang kamu minta?” Dia tidak tahu perempuan itu menantunya sendiri.Tamar menjawab, “Apakah yang tuan mahu berikan?”
17. Yehuda berkata lagi, “Aku akan memberikan seekor kambing muda kepadamu.”Tamar menjawab, “Boleh, asal tuan memberi saya cagaran sehingga tuan mengirimkan kambing itu.”
18. Yehuda bertanya, “Apakah yang dapat kuberikan sebagai cagaran kepadamu?”Tamar menjawab, “Berilah saya meterai tuan dengan talinya dan juga tongkat yang tuan bawa itu.” Yehuda memberikan benda-benda itu kepadanya. Kemudian mereka bersetubuh, lalu Tamar mengandung.
19. Tamar pulang ke rumah dan membuka tudung mukanya, lalu memakai semula pakaian balu.
20. Beberapa lama kemudian Yehuda mengutus Hira, temannya, untuk menghantarkan kambing itu dan meminta balik benda-benda yang telah diberikannya sebagai cagaran, tetapi Hira tidak dapat menjumpai perempuan itu.