Kejadian 38:1-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Kira-kira pada masa itu Yehuda meninggalkan saudara-saudaranya lalu tinggal bersama dengan Hira, seorang lelaki yang berasal dari kota Adulam.

2. Di situ Yehuda berkenalan dengan seorang perempuan Kanaan. Bapa perempuan itu bernama Sua. Kemudian Yehuda mengahwini perempuan itu.

3. Perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Er oleh Yehuda, bapanya.

4. Perempuan itu mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki, yang diberinya nama Onan.

5. Perempuan itu mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki, yang diberinya nama Syela. Yehuda berada di Kezib ketika Syela dilahirkan.

6. Yehuda mengahwinkan Er, anak sulungnya, dengan Tamar.

7. Kelakuan Er sangat jahat sehingga TUHAN murka kepadanya, lalu membunuh dia.

8. Kemudian Yehuda berkata kepada Onan adik Er, “Pergilah kepada balu abangmu, dan tidurlah dengan dia. Lakukanlah kewajipanmu terhadap dia kerana kamu adik suaminya; dengan demikian abangmu boleh mendapat keturunan.”

9. Tetapi Onan tahu bahawa anaknya nanti tidak akan menjadi kepunyaannya. Oleh itu setiap kali dia bersetubuh dengan balu abangnya itu, dia membiarkan air maninya meleleh di luar supaya abangnya tidak mempunyai keturunan.

10. Perbuatannya itu menyebabkan TUHAN murka, lalu TUHAN membunuh dia juga.

11. Kemudian Yehuda berkata kepada Tamar, menantunya, “Baliklah ke rumah bapamu dan tinggallah di situ sebagai balu sehingga anakku Syela dewasa.” Yehuda berkata demikian kerana takut jangan-jangan Syela akan dibunuh juga, seperti kedua-dua orang abangnya. Oleh itu Tamar pulang ke rumah bapanya.

12. Beberapa lama kemudian isteri Yehuda meninggal. Apabila masa berkabung berakhir, Yehuda mengajak Hira, temannya dari Adulam itu, pergi ke Timna, tempat menggunting bulu dombanya.

13. Tamar mendapat khabar bahawa Yehuda, bapa mentuanya akan datang ke Timna untuk menggunting bulu dombanya.

14. Oleh itu Tamar mengganti pakaian balunya dengan pakaian lain. Dia menutup mukanya dengan sehelai tudung, lalu duduk di pintu gerbang kota Enaim, yang terletak di jalan menuju ke Timna. Tamar tahu bahawa Syela, anak Yehuda yang bongsu sudah dewasa, tetapi dia belum juga dikahwinkan dengan pemuda itu.

15. Apabila Yehuda melihat Tamar, dia menyangka perempuan itu seorang pelacur kerana mukanya bertudung.

16. Oleh itu Yehuda menghampirinya di pinggir jalan dan berkata, “Berapakah yang kamu minta?” Dia tidak tahu perempuan itu menantunya sendiri.Tamar menjawab, “Apakah yang tuan mahu berikan?”

Kejadian 38