2. Inilah kisah keluarga Yakub.Yusuf, anak Yakub yang berumur tujuh belas tahun, menjaga kawanan kambing dan domba bersama dengan saudara-saudaranya, iaitu anak-anak Bilha dan Zilpa, gundik bapanya. Yusuf memberikan laporan kepada bapanya tentang perbuatan jahat yang dilakukan oleh saudara-saudaranya itu.
3. Yakub lebih sayang kepada Yusuf daripada semua anaknya yang lain, kerana Yusuf dilahirkan ketika Yakub sudah tua. Pada suatu hari Yakub membuat sehelai jubah yang sangat cantik
4. Apabila saudara-saudara Yusuf nampak bapa mereka lebih menyayangi Yusuf, mereka membenci Yusuf sehingga tidak mahu bercakap baik-baik dengan dia lagi.
5. Pada suatu malam Yusuf bermimpi. Apabila dia menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya, mereka bertambah benci akan dia.
6. Inilah yang dikatakan Yusuf kepada mereka, “Cuba dengar mimpiku.
7. Aku bermimpi kita semua berada di ladang dan sedang memberkas gandum, lalu berkas gandumku berdiri tegak. Kemudian berkas-berkas gandum kamu mengelilingi berkas gandumku, lalu sujud kepada berkas gandumku itu.”
8. Lalu saudara-saudara Yusuf berkata kepadanya, “Kaufikir engkau akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?” Oleh itu mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya.
9. Kemudian Yusuf bermimpi lagi. Dia berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku bermimpi lagi. Aku nampak matahari, bulan, dan sebelas bintang sujud kepadaku.”
10. Mimpi itu diceritakannya pula kepada bapanya. Lalu bapanya menegur dia, “Mimpi apakah itu? Kaufikir aku, ibumu, dan saudara-saudaramu akan datang dan sujud menyembah engkau?”
11. Saudara-saudara Yusuf iri hati kepadanya tetapi bapanya tetap memikirkan mimpi itu.
12. Pada suatu hari saudara-saudara Yusuf pergi ke Sikhem untuk menggembala ternakan bapa mereka.
13. Yakub berkata kepada Yusuf, “Pergilah ke Sikhem, tempat saudara-saudaramu menggembala ternakan kita.”Yusuf menjawab, “Baiklah, ayah.”
14. Bapanya berkata, “Lihatlah bagaimana keadaan saudara-saudaramu dan ternakan itu; kemudian baliklah dan beritahulah aku.” Demikianlah Yakub menyuruh Yusuf pergi dari Lembah Hebron.Tidak lama kemudian Yusuf sampai di Sikhem.
15. Semasa dia berjalan ke sana ke mari di padang, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu cari?”
16. “Saya mencari saudara-saudara saya yang sedang menggembala ternakan,” jawab Yusuf. “Tolong beritahu saya di mana mereka berada.”
17. Orang itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Saya mendengar mereka berkata hendak pergi ke Dotan.” Oleh itu Yusuf berangkat untuk menyusul saudara-saudaranya. Dia menjumpai mereka di Dotan.
18. Dari jauh mereka nampak Yusuf, dan sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot membunuh dia.
19. Mereka berkata satu sama lain, “Itu dia si tukang mimpi datang.
20. Marilah kita bunuh dia dan campakkan mayatnya ke dalam perigi yang kering. Nanti kita katakan dia diterkam oleh binatang buas. Kita lihatlah apa akan berlaku dengan mimpi-mimpinya itu.”
21. Ruben mendengar rancangan mereka, lalu dia berusaha untuk menyelamatkan Yusuf. “Jangan bunuh dia,” katanya.