11. Saudara-saudara Yusuf iri hati kepadanya tetapi bapanya tetap memikirkan mimpi itu.
12. Pada suatu hari saudara-saudara Yusuf pergi ke Sikhem untuk menggembala ternakan bapa mereka.
13. Yakub berkata kepada Yusuf, “Pergilah ke Sikhem, tempat saudara-saudaramu menggembala ternakan kita.”Yusuf menjawab, “Baiklah, ayah.”
14. Bapanya berkata, “Lihatlah bagaimana keadaan saudara-saudaramu dan ternakan itu; kemudian baliklah dan beritahulah aku.” Demikianlah Yakub menyuruh Yusuf pergi dari Lembah Hebron.Tidak lama kemudian Yusuf sampai di Sikhem.
15. Semasa dia berjalan ke sana ke mari di padang, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu cari?”
16. “Saya mencari saudara-saudara saya yang sedang menggembala ternakan,” jawab Yusuf. “Tolong beritahu saya di mana mereka berada.”
17. Orang itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Saya mendengar mereka berkata hendak pergi ke Dotan.” Oleh itu Yusuf berangkat untuk menyusul saudara-saudaranya. Dia menjumpai mereka di Dotan.
18. Dari jauh mereka nampak Yusuf, dan sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot membunuh dia.
19. Mereka berkata satu sama lain, “Itu dia si tukang mimpi datang.
20. Marilah kita bunuh dia dan campakkan mayatnya ke dalam perigi yang kering. Nanti kita katakan dia diterkam oleh binatang buas. Kita lihatlah apa akan berlaku dengan mimpi-mimpinya itu.”
21. Ruben mendengar rancangan mereka, lalu dia berusaha untuk menyelamatkan Yusuf. “Jangan bunuh dia,” katanya.
22. “Campakkan dia ke dalam perigi di padang gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Ruben berkata begitu kerana dia bermaksud menyelamatkan Yusuf dan menyuruh dia pulang kepada bapanya.
23. Apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, dengan kasar mereka menanggalkan jubah Yusuf yang sangat cantik itu.
24. Kemudian mereka menyeret Yusuf dan mencampakkan dia ke dalam perigi yang kering.
25. Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba mereka nampak kafilah orang Ismael dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka mengangkut rempah-rempah dan damar.