9. Selepas Yakub kembali dari Mesopotamia, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya.
10. Allah berfirman kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi mulai sekarang engkau akan disebut Israel.” Demikianlah Allah menamakan dia Israel.
11. Allah berfirman lagi, “Akulah Allah yang Maha Kuasa. Hendaklah engkau mempunyai anak cucu yang banyak! Keturunanmu akan menjadi bangsa-bangsa dan engkau akan menjadi nenek moyang raja-raja.
12. Negeri yang Aku berikan kepada Abraham dan Ishak akan Kuberikan kepadamu dan keturunanmu.”
13. Selepas itu Allah meninggalkan Yakub.
14. Yakub menegakkan sebuah batu peringatan di tempat Allah berfirman kepadanya. Kemudian Yakub mentahbiskan batu itu dengan menuang wain dan minyak zaitun di atasnya.
15. Yakub menamakan tempat itu Betel.
16. Kemudian Yakub dan keluarganya meninggalkan Betel. Apabila mereka masih agak jauh dari Efrata, tibalah masanya bagi Rahel untuk bersalin, tetapi dia susah sekali melahirkan anak itu.
17. Apabila kesakitannya memuncak, bidan berkata kepadanya, “Besarkan hatimu, Rahel, anakmu lelaki lagi.”
18. Tetapi Rahel sudah mendekati akhir hayatnya, dan ketika dia hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menamakan anak itu Ben-Oni, tetapi bapa anak itu menamakan dia Benyamin.
19. Setelah Rahel meninggal, dia dikuburkan di pinggir jalan yang menuju ke Efrata, yang sekarang bernama Bethlehem.
20. Yakub menegakkan sebuah batu peringatan di situ, dan sampai hari ini, kubur Rahel masih ditandai dengan batu itu.
21. Kemudian Yakub meneruskan perjalanannya. Selepas melalui menara Eder, dia memasang khemahnya.
22. Sementara mereka berada di tempat itu, Ruben berseketiduran dengan Bilha, gundik bapanya. Hal itu diketahui Yakub, lalu dia sangat marah.Yakub mempunyai dua belas orang anak lelaki.
23. Anak Lea ialah Ruben (anak sulung Yakub), Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, dan Zebulon.