5. Sekarang saya mempunyai lembu, keldai, domba, kambing, dan hamba. Saya mengirim khabar kepada tuan dengan harapan agar tuan akan baik hati kepada saya.’ ”
6. Apabila para utusan kembali kepada Yakub, mereka berkata, “Kami sudah menemui Esau, abang tuan. Sekarang dia dalam perjalanan ke sini untuk berjumpa dengan tuan. Dia datang bersama dengan empat ratus orang.”
7. Setelah mendengar khabar itu, Yakub sangat ketakutan dan khuatir. Kemudian orang yang ada bersama dengan dia dibahaginya menjadi dua kumpulan. Demikian juga yang dilakukannya dengan domba, kambing, lembu, dan untanya.
8. Dia berfikir, “Jika Esau datang dan menyerang kumpulan yang pertama, kumpulan yang kedua mungkin sempat menyelamatkan diri.”
9. Kemudian Yakub berdoa, “Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham dan bapaku Ishak, dengarlah aku! TUHAN sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku. Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku.
10. Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku, hamba-Mu. Pada masa aku berangkat menyeberangi Sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat. Sekarang aku datang kembali bersama dengan dua kumpulan ini.
11. Aku mohon, selamatkanlah aku daripada abangku, Esau. Aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua, termasuk wanita serta anak-anak.
12. Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberikan banyak keturunan kepadaku. Bilangan mereka akan sebanyak pasir di pantai, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka.”
16. Semua binatang itu dibahaginya menjadi beberapa kawanan, lalu setiap kawanan diserahkannya kepada seorang hamba. Dia berkata kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku, dan pastikan ada jarak di antara kawanan yang satu dengan kawanan yang berikutnya.”
17. Yakub memberikan arahan kepada hamba yang pertama, “Jika abangku Esau bertemu denganmu, dan bertanya, ‘Siapakah tuanmu? Hendak ke mana? Siapakah pemilik ternakan yang kamu giring itu?’
18. Jawablah, ‘Milik Yakub, hamba tuan. Dia mengirim kawanan ini sebagai hadiah kepada Esau, tuannya. Yakub, hamba tuan, sedang menyusul kami.’ ”
21. Oleh itu dia mengirimkan hadiah-hadiah itu lebih dahulu, sedangkan dia sendiri bermalam di perkhemahan.
22. Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok.