16. Semua binatang itu dibahaginya menjadi beberapa kawanan, lalu setiap kawanan diserahkannya kepada seorang hamba. Dia berkata kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku, dan pastikan ada jarak di antara kawanan yang satu dengan kawanan yang berikutnya.”
17. Yakub memberikan arahan kepada hamba yang pertama, “Jika abangku Esau bertemu denganmu, dan bertanya, ‘Siapakah tuanmu? Hendak ke mana? Siapakah pemilik ternakan yang kamu giring itu?’
18. Jawablah, ‘Milik Yakub, hamba tuan. Dia mengirim kawanan ini sebagai hadiah kepada Esau, tuannya. Yakub, hamba tuan, sedang menyusul kami.’ ”
19-20. Yakub memberikan arahan yang sama kepada hambanya yang kedua, ketiga, dan semua orang yang ditugaskan untuk mengurus segala kawanan binatang itu. Yakub berfikir bahawa dia dapat membujuk Esau dengan hadiah-hadiah itu, dan apabila bertemu nanti, Esau mungkin akan memaafkan dia.
21. Oleh itu dia mengirimkan hadiah-hadiah itu lebih dahulu, sedangkan dia sendiri bermalam di perkhemahan.
22. Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok.
23. Setelah Yakub menyeberangkan mereka, dia kembali dan mengirim juga segala miliknya ke seberang.
24. Tetapi dia tinggal di situ seorang diri.Kemudian datanglah seorang lelaki bergomol dengan Yakub sampai menjelang pagi.
25. Apabila orang itu berasa tidak akan menang dalam pergomolan itu, dia memukul pinggul Yakub sehingga sendinya terkehel.
26. Orang itu berkata, “Lepaskanlah aku; sebentar lagi matahari akan terbit.”Yakub menjawab, “Saya tidak akan melepaskan tuan, kecuali tuan memberkati saya.”
27. “Siapa namamu?” tanya orang itu.“Yakub,” jawabnya.
28. Orang itu berkata, “Namamu bukan Yakub lagi. Engkau telah bergomol dengan Allah serta manusia, dan engkau sudah menang; kerana itu sekarang namamu Israel.”
29. Yakub berkata, “Sekarang beritahulah saya nama tuan.”Tetapi orang itu menjawab, “Tidak perlu engkau mengetahui namaku!” Kemudian dia memberkati Yakub.
30. Yakub berkata, “Aku sudah bertemu muka dengan Allah dan aku masih hidup.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Peniel.
31. Pada waktu matahari terbit, Yakub meninggalkan Peniel. Dia pincang kerana sendi pinggulnya terkehel.