Kejadian 31:41-55 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

41. Begitulah keadaan saya ketika bekerja bagi pak cik selama dua puluh tahun penuh. Empat belas tahun lamanya saya bekerja untuk mendapat dua orang anak perempuan pak cik – dan enam tahun lagi untuk mendapat kawanan kambing dan domba. Selama itu pun pak cik mengubah upah saya sampai sepuluh kali.

42. Seandainya saya tidak disertai oleh Allah bapa saya, Allah yang disembah oleh Abraham dan Ishak, maka pak cik tentu telah menyuruh saya pergi dengan tangan kosong. Tetapi Allah telah memperhatikan kesusahan saya dan pekerjaan yang saya lakukan, dan malam tadi Allah memberikan keputusan-Nya.”

43. Setelah itu Laban menjawab Yakub, “Dua orang wanita itu anakku; anak mereka itu milikku dan kawanan domba itu kepunyaanku juga. Sesungguhnya, segala sesuatu yang kamu lihat di sini kepunyaanku. Tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk menahani anak cucuku.

44. Oleh itu marilah kita membuat perjanjian dan menimbunkan batu-batu sebagai tanda perjanjian.”

45. Kemudian Yakub mengambil sebuah batu dan menegakkannya sebagai batu peringatan.

46. Dia menyuruh anak buahnya mengumpulkan batu dan membuat sebuah timbunan. Kemudian mereka makan bersama dekat timbunan batu itu.

47. Laban menamakan timbunan batu itu Yegar Sahaduta, dan Yakub menamakannya Galed.

48. Laban berkata kepada Yakub, “Timbunan batu ini akan menjadi peringatan bagi kita berdua.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Galed.

49. Laban berkata juga, “Semoga TUHAN mengawasi kita selama kita hidup berjauhan.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan juga Mizpa.

50. Laban berkata lagi, “Jika kamu tidak memperlakukan anak-anakku dengan baik, atau mengahwini wanita-wanita lain, walaupun tiada yang mengetahuinya, ingatlah, bahawa Allah mengawasi kita.

51. Inilah batu-batu yang telah aku timbun, dan ini batu peringatan.

52. Baik timbunan ini mahupun batu peringatan ini mengingatkan kita bahawa aku tidak boleh melalui timbunan ini untuk menyerang kamu, dan kamu pun tidak boleh melalui timbunan ini dan batu peringatan ini untuk menyerang aku.

53. Allah yang disembah Abraham dan disembah bapaku Nahor akan menjadi hakim antara kita.” Kemudian Yakub bersumpah demi Allah yang disembah oleh Ishak, bapanya, untuk memegang perjanjiannya.

54. Dia menyembelih seekor binatang dan mempersembahkannya sebagai korban di atas bukit itu. Dia menjemput semua anak buahnya untuk makan bersama. Setelah selesai makan, mereka bermalam di bukit itu.

55. Awal pagi esoknya, Laban memberikan ciuman perpisahan kepada anak cucunya, memberkati mereka, lalu pulang ke tempat tinggalnya.

Kejadian 31