13. Akulah Allah yang telah menampakkan diri kepadamu di Betel. Di sana engkau telah mentahbiskan sebuah batu peringatan, dengan menuang minyak zaitun di atasnya. Di sana pula engkau bersumpah kepada-Ku. Sekarang bersiaplah dan kembalilah ke negeri kelahiranmu.’ ”
14. Kemudian Lea dan Rahel menjawab, “Tidak ada lagi bahagian daripada kekayaan bapa kami yang akan kami warisi.
15. Dia memperlakukan kami seperti orang asing. Dia telah menjual kami, dan apa yang telah diterimanya untuk itu telah dihabiskannya juga.
16. Segala kekayaan yang telah diambil oleh Allah daripada bapa kami, sebenarnya milik kami dan anak-anak kami. Lakukanlah apa yang diperintahkan oleh Allah kepadamu.”
17-18. Kemudian Yakub bersiap untuk pulang kepada bapanya di negeri Kanaan. Dia menaikkan semua isteri dan anaknya ke atas unta-unta, lalu dia menggiring ternakannya, dan membawa semua yang telah diperolehnya di Mesopotamia.
19. Pada masa itu Laban berada di padang dan sedang menggunting bulu dombanya. Pada masa itulah Rahel mencuri patung pelindung keluarga kepunyaan bapanya.
20. Yakub menipu Laban dengan tidak memberitahu keberangkatannya kepada Laban.
21. Yakub mengambil segala harta miliknya lalu pergi dengan segera. Dia menyeberangi Sungai Efrat lalu menuju ke kawasan pergunungan Gilead.
22. Tiga hari kemudian Laban diberitahu bahawa Yakub telah lari.
23. Oleh itu Laban mengumpulkan sanak saudaranya. Kemudian dia bersama dengan mereka, mengejar Yakub selama tujuh hari sampai menyusuli dia di kawasan pergunungan Gilead.
24. Pada malam itu Allah datang kepada Laban dalam mimpinya, dan berfirman, “Awas, jangan sekali-kali ancam Yakub dengan sepatah kata pun.”
25. Pada masa itu Yakub telah memasang khemahnya di sebuah bukit. Kemudian di kawasan itu juga, di pergunungan Gilead, Laban dan anak buahnya memasang khemah mereka.
26. Laban berkata kepada Yakub, “Mengapa kamu menipu aku dan membawa lari anak-anakku, seakan-akan mereka tawanan perang?
27. Mengapa kamu menipu aku lalu pergi dengan diam-diam, tanpa minta diri? Seandainya kamu minta diri, aku tentu melepaskan kamu pergi dengan kegembiraan dan nyanyian, diiringi tamburin dan kecapi!