3. Maka Rahel berkata, “Ini hambaku Bilha; tidurlah dengan dia supaya dia melahirkan anak untuk aku. Dengan demikian aku boleh menjadi ibu melalui dia.”
4. Rahel memberikan Bilha kepada suaminya, lalu Yakub bersetubuh dengan hamba itu.
5. Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki.
6. Rahel berkata, “Allah sudah mengadili bagi kepentinganku. Dia sudah mendengar doaku dan memberikan seorang anak lelaki kepadaku.” Maka dia menamakan anak itu Dan.
7. Bilha mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki.
8. Rahel berkata, “Aku telah berjuang mati-matian melawan kakakku, dan aku sudah menang.” Maka dia menamakan anak itu Naftali.
9. Apabila Lea sedar bahawa dia tidak mendapat anak lagi, dia memberikan hambanya Zilpa kepada Yakub, untuk menjadi isterinya.
10. Kemudian Zilpa melahirkan seorang anak lelaki.
11. Lea berkata, “Aku beruntung.” Maka dia menamakan anak itu Gad.
12. Zilpa melahirkan seorang anak lelaki lagi,
13. dan Lea berkata, “Alangkah berbahagianya aku! Sekarang semua wanita akan mengatakan aku berbahagia.” Maka dia menamakan anak itu Asyer.
14. Pada musim menuai gandum, Ruben pergi ke ladang dan menjumpai sejenis tumbuhan ubat di sana. Dia membawa tumbuhan itu kepada Lea, ibunya. Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku sedikit tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu.”
15. Lea menjawab, “Belum cukupkah engkau mengambil suamiku? Tumbuhan ubat yang dijumpai anakku pun engkau hendak ambil!”Rahel berkata, “Jika engkau mahu memberi aku tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu, engkau boleh tidur dengan Yakub pada malam ini.”
16. Apabila Yakub pulang ke rumah dari ladang pada petang itu, Lea menyambutnya sambil berkata, “Engkau mesti tidur bersama-samaku malam ini kerana aku sudah membayarnya dengan tumbuhan ubat yang dijumpai anakku.” Oleh itu Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu.
17. Allah mengabulkan doa Lea, maka dia mengandung lalu melahirkan anak lelaki yang kelima.
18. Lea berkata, “Allah sudah memberikan pahala kepadaku kerana aku telah menyerahkan Zilpa kepada suamiku.” Maka dia menamakan anak itu Isakhar.