18. Lea berkata, “Allah sudah memberikan pahala kepadaku kerana aku telah menyerahkan Zilpa kepada suamiku.” Maka dia menamakan anak itu Isakhar.
19. Lea mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam.
20. Dia berkata, “Allah sudah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku akan menghargai aku kerana aku sudah melahirkan enam orang anak lelaki.” Maka dia menamakan anak itu Zebulon.
21. Selepas itu Lea melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakannya Dina.
22. Kemudian Allah ingat akan Rahel; Allah mengabulkan doanya dan membolehkan dia melahirkan anak.
23. Rahel mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah menghapuskan keaibanku.
24. Semoga TUHAN memberikan seorang anak lelaki lagi kepadaku.” Maka dia menamakan anaknya itu Yusuf.
25. Selepas Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah saya pulang ke negeri saya.
26. Berilah saya anak isteri yang saya dapat dengan bekerja bagi pak cik, lalu saya akan pulang. Pak cik tahu, saya sudah bekerja keras.”
27. Laban berkata kepadanya, “Dengar dulu. Melalui ramalan, aku tahu bahawa TUHAN sudah memberkati aku kerana kamu.
28. Katakan saja berapa yang kamu minta dan aku akan membayarnya.”
29. Yakub menjawab, “Pak cik sendiri tahu bahawa saya sudah bekerja keras, dan ternakan pak cik bertambah banyak di bawah jagaan saya.
30. Sebelum saya datang, harta milik pak cik tidak seberapa, tetapi sekarang pak cik sudah kaya. TUHAN sudah memberkati pak cik kerana saya. Sekarang sudah masanya saya bekerja untuk keluarga saya sendiri.”
31. Laban berkata, “Jika demikian apa yang harus aku berikan kepadamu?”Yakub menjawab, “Tidak usah pak cik berikan apa-apa. Saya akan tetap memelihara ternakan pak cik, asal pak cik setuju dengan cadangan saya ini.
32. Izinkan saya berjalan antara semua kawanan kambing dan domba pak cik pada hari ini, dan mengambil setiap anak domba yang hitam, dan juga setiap kambing muda yang belang atau berbintik-bintik. Itu saja upah yang saya minta.
33. Pada masa yang akan datang pak cik akan tahu dengan mudah sama ada saya berlaku jujur atau tidak. Manakala pak cik datang untuk memeriksa ternakan yang menjadi upah saya, dan nampak bahawa ada kambing yang tidak berbintik-bintik atau belang, atau domba yang tidak hitam, pak cik akan tahu bahawa binatang itu telah saya curi.”
34. Laban menjawab, “Aku setuju! Kita akan melakukan apa yang kamu cadangkan itu!”