Kejadian 30:15-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

15. Lea menjawab, “Belum cukupkah engkau mengambil suamiku? Tumbuhan ubat yang dijumpai anakku pun engkau hendak ambil!”Rahel berkata, “Jika engkau mahu memberi aku tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu, engkau boleh tidur dengan Yakub pada malam ini.”

16. Apabila Yakub pulang ke rumah dari ladang pada petang itu, Lea menyambutnya sambil berkata, “Engkau mesti tidur bersama-samaku malam ini kerana aku sudah membayarnya dengan tumbuhan ubat yang dijumpai anakku.” Oleh itu Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu.

17. Allah mengabulkan doa Lea, maka dia mengandung lalu melahirkan anak lelaki yang kelima.

18. Lea berkata, “Allah sudah memberikan pahala kepadaku kerana aku telah menyerahkan Zilpa kepada suamiku.” Maka dia menamakan anak itu Isakhar.

19. Lea mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam.

20. Dia berkata, “Allah sudah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku akan menghargai aku kerana aku sudah melahirkan enam orang anak lelaki.” Maka dia menamakan anak itu Zebulon.

21. Selepas itu Lea melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakannya Dina.

22. Kemudian Allah ingat akan Rahel; Allah mengabulkan doanya dan membolehkan dia melahirkan anak.

23. Rahel mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah menghapuskan keaibanku.

24. Semoga TUHAN memberikan seorang anak lelaki lagi kepadaku.” Maka dia menamakan anaknya itu Yusuf.

25. Selepas Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah saya pulang ke negeri saya.

26. Berilah saya anak isteri yang saya dapat dengan bekerja bagi pak cik, lalu saya akan pulang. Pak cik tahu, saya sudah bekerja keras.”

27. Laban berkata kepadanya, “Dengar dulu. Melalui ramalan, aku tahu bahawa TUHAN sudah memberkati aku kerana kamu.

28. Katakan saja berapa yang kamu minta dan aku akan membayarnya.”

29. Yakub menjawab, “Pak cik sendiri tahu bahawa saya sudah bekerja keras, dan ternakan pak cik bertambah banyak di bawah jagaan saya.

Kejadian 30