Kejadian 27:6-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Ribka berkata kepada Yakub, “Aku baru saja mendengar bapamu berkata kepada Esau begini,

7. ‘Berilah aku seekor binatang buruan dan masaklah makanan yang lazat untuk aku. Selepas aku memakannya, aku akan memberkati engkau di hadapan TUHAN, sebelum aku meninggal.’ ”

8. Ribka berkata lagi, “Sekarang, hai anakku, dengarlah aku dan lakukanlah apa yang aku katakan ini.

9. Pergilah ke tempat kawanan domba kita dan pilihlah dua ekor anak kambing yang gemuk supaya aku memasak makanan yang sangat disukai bapamu.

10. Kemudian bawalah makanan itu kepadanya supaya dimakannya. Selepas itu dia akan memberkati engkau, sebelum dia meninggal.”

11. Tetapi Yakub berkata kepada ibunya, “Mak tahu badan Esau berbulu, sedangkan badan saya tidak.

12. Jangan-jangan ayah meraba badan saya dan tahu bahawa saya menipu dia; nanti dia tidak akan memberkati saya, sebaliknya mengutuk saya pula.”

13. Ibunya menjawab, “Jangan khuatir, nak. Biar mak yang menanggung segala kutukannya. Buat saja apa yang mak katakan. Pergilah ambil kambing-kambing itu.”

14. Maka Yakub pergi mengambil kambing. Dia membawa kambing-kambing itu kepada ibunya, lalu Ribka memasak makanan kesukaan Ishak.

15. Selepas itu Ribka mengambil pakaian Esau yang terbaik, yang disimpannya di dalam khemah, lalu mengenakan pakaian itu pada Yakub.

16. Dia menutupi lengan dan leher Yakub yang tidak berbulu dengan kulit kambing.

17. Dia memberikan makanan yang lazat itu bersama dengan roti yang dibuatnya, kepada Yakub.

18. Kemudian Yakub pergi kepada bapanya dan berkata, “Ayah!”“Ya”, jawab bapanya. “Siapakah engkau, Esau atau Yakub?”

19. Yakub menjawab, “Saya Esau, anak sulung ayah; saya sudah melakukan suruhan ayah. Duduklah dan makanlah daging binatang buruan yang saya bawa ini supaya ayah dapat memberkati saya.”

20. Ishak berkata, “Bagaimana engkau mendapatkannya dengan begitu cepat, hai anakku?”Jawab Yakub, “TUHAN, Allah yang disembah ayah telah menolong saya.”

21. Ishak berkata kepada Yakub, “Mari dekat sedikit supaya aku dapat meraba engkau. Benarkah engkau ini Esau?”

22. Yakub menghampiri bapanya. Bapanya meraba dia dan berkata, “Suaramu seperti suara Yakub, tetapi lenganmu seperti lengan Esau.”

Kejadian 27