29. Semoga bangsa-bangsa menjadi hambamu dan suku-suku takluk kepadamu. Semoga engkau menguasai semua saudara maramu, dan semoga keturunan ibumu sujud di hadapanmu. Terkutuklah semua orang yang mengutuk engkau, dan diberkatilah semua orang yang memberkati engkau.”
30. Selepas Ishak memberkati Yakub, dan sebaik sahaja Yakub pergi, Esau abangnya, pulang dari berburu.
31. Dia juga memasak makanan yang lazat dan membawa makanan itu kepada bapanya. Dia berkata, “Ayah, bangunlah, dan makanlah daging yang saya bawa untuk ayah, supaya ayah dapat memberkati saya.”
32. “Siapakah engkau?” Ishak bertanya.Esau menjawab, “Esau, anak sulung ayah.”
33. Seluruh tubuh Ishak gementar, lalu dia bertanya, “Jika begitu, siapakah yang sudah memburu binatang dan membawanya kepadaku tadi? Aku telah memakannya sebelum engkau tiba. Kemudian aku memberikan berkatku yang terakhir kepadanya, dan kini berkat itu menjadi miliknya selama-lamanya.”
34. Apabila Esau mendengar hal itu, dia meraung-raung dengan penuh kepedihan, lalu berkata, “Berkatilah saya juga, ayah!”
35. Ishak menjawab, “Adikmu sudah datang dan menipu aku. Dia sudah mengambil berkat yang sebetulnya hendak aku berikan kepadamu.”
36. Esau berkata, “Inilah kali kedua dia menipu saya. Patutlah namanya Yakub. Dia sudah mengambil hak saya sebagai anak sulung, dan sekarang dia mengambil pula berkat yang sepatutnya untuk saya. Tidakkah ayah mempunyai berkat lain bagi saya?”
37. Ishak menjawab, “Aku sudah menjadikan dia tuanmu, dan semua saudara maranya aku jadikan hambanya. Aku sudah memberikan gandum serta wain kepadanya. Sekarang tiada apa-apa lagi yang boleh aku lakukan untukmu, nak!”
38. Esau terus-menerus merayu kepada bapanya, “Adakah ayah mempunyai satu berkat saja? Berkatilah saya juga, ayah!” Maka dia mula meraung-raung lagi.
39. Kemudian Ishak berkata kepadanya,“Tiada embun dari langit bagimu,tiada ladang yang subur untukmu.
40. Engkau akan hidup dengan pedangmu,tetapi menjadi hamba adikmu.Namun apabila engkau memberontak,engkau akan bebas daripada kuasanya.”
41. Maka Esau membenci Yakub kerana bapanya sudah memberikan berkatnya kepada Yakub. Esau berfikir, “Tidak lama lagi ayah akan meninggal dan apabila masa berkabung selesai, aku akan membunuh Yakub!”