22. Kemudian dia berpindah dari situ dan menggali sebuah perigi lagi. Kali ini, pertengkaran tidak berlaku. Maka Ishak menamakan perigi itu “Kebebasan.” Dia berkata, “Kini TUHAN sudah mengurniakan kebebasan kepada kita untuk tinggal di negeri ini, dan kita akan makmur di sini.”
23. Kemudian Ishak meninggalkan tempat itu dan tiba di Bersyeba.
24. Pada malam itu TUHAN menampakkan diri kepada Ishak dan berfirman, “Akulah Allah bapamu Abraham. Janganlah takut; Aku akan melindungi engkau. Aku akan memberkati engkau dan mengurniai engkau keturunan yang banyak kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Abraham.”
25. Lalu Ishak membina sebuah mazbah dan menyembah TUHAN di situ. Kemudian dia memasang khemahnya di sana dan hamba-hambanya menggali sebuah perigi lagi.
26. Pada suatu hari Raja Abimelekh datang dari Gerar bersama dengan Ahuzat, penasihatnya, dan juga Pikhol, panglima tenteranya, untuk berjumpa dengan Ishak.
27. Ishak bertanya, “Mengapa tuan-tuan datang berjumpa dengan saya sekarang, padahal dahulu tuan-tuan memusuhi dan mengusir saya dari negeri tuan-tuan?”
28. Mereka menjawab, “Sekarang kami tahu bahawa TUHAN melindungi tuan, lalu kami fikir lebih baik kita mengadakan perjanjian. Bersumpahlah
29. bahawa tuan tidak akan berbuat jahat terhadap kami, sebagaimana kami tidak berbuat jahat terhadap tuan. Kami sudah bersikap baik terhadap tuan dan membenarkan tuan pergi dengan damai. Kini sudah nyata bahawa TUHAN memberkati tuan.”
30. Kemudian Ishak menyediakan jamuan untuk mereka, lalu mereka pun makan dan minum.
31. Keesokan harinya pagi-pagi lagi, mereka membuat perjanjian yang disahkan dengan sumpah. Selepas itu Ishak mengucapkan selamat jalan kepada mereka, lalu mereka berpisah sebagai sahabat.
32. Pada hari itu juga hamba-hamba Ishak datang dan memberitahu dia tentang perigi yang telah digali. Mereka berkata, “Kami sudah menjumpai air.”
33. Ishak menamakan perigi itu “Sumpah”. Demikianlah kota Bersyeba mendapat namanya.
34. Ketika Esau berumur empat puluh tahun dia berkahwin dengan dua orang gadis bangsa Het, iaitu Yudit anak Beeri dan Basmat anak Elon.