Kejadian 26:14-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

14. Orang Filistin berasa iri hati terhadapnya kerana dia mempunyai banyak kawanan domba dan lembu, serta banyak hamba.

15. Oleh itu mereka menimbusi semua perigi yang telah digali oleh hamba-hamba Abraham, semasa Abraham masih hidup.

16. Kemudian Raja Abimelekh bertitah kepada Ishak, “Tinggalkanlah negeri kami. Kamu sudah menjadi lebih berkuasa daripada kami semua.”

17. Oleh itu Ishak meninggalkan negeri itu dan berkhemah di Lembah Gerar. Dia tinggal di sana untuk beberapa lama.

18. Dia menggali semula perigi-perigi yang telah digali pada zaman Abraham, dan yang telah ditimbus oleh orang Filistin selepas Abraham meninggal. Ishak menamakan perigi-perigi itu dengan nama yang diberikan oleh bapanya dahulu.

19. Hamba-hamba Ishak menggali sebuah perigi di Lembah Gerar dan mendapati air di situ.

20. Gembala-gembala kota Gerar bertengkar dengan gembala-gembala Ishak dan berkata, “Air ini kepunyaan kami.” Oleh itu Ishak menamakan perigi itu “Pertengkaran.”

21. Hamba-hamba Ishak menggali sebuah perigi lagi, dan di sana juga pertengkaran berlaku tentang perigi itu. Oleh itu dia menamakan perigi itu “Permusuhan.”

22. Kemudian dia berpindah dari situ dan menggali sebuah perigi lagi. Kali ini, pertengkaran tidak berlaku. Maka Ishak menamakan perigi itu “Kebebasan.” Dia berkata, “Kini TUHAN sudah mengurniakan kebebasan kepada kita untuk tinggal di negeri ini, dan kita akan makmur di sini.”

23. Kemudian Ishak meninggalkan tempat itu dan tiba di Bersyeba.

24. Pada malam itu TUHAN menampakkan diri kepada Ishak dan berfirman, “Akulah Allah bapamu Abraham. Janganlah takut; Aku akan melindungi engkau. Aku akan memberkati engkau dan mengurniai engkau keturunan yang banyak kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Abraham.”

Kejadian 26