34. Oleh itu hamba Abraham mulai bercakap, katanya, “Saya ini hamba Abraham.
35. TUHAN sangat memberkati tuan saya dan menjadikan dia kaya raya. TUHAN sudah memberikan kawanan domba, kambing, lembu, unta, keldai, juga perak, emas, serta hamba lelaki, dan hamba perempuan kepadanya.
36. Sara, isteri tuan saya, telah melahirkan seorang anak lelaki ketika umurnya sudah lanjut. Tuan saya sudah mewariskan segala hartanya kepada anaknya itu.
37. Tuan saya menyuruh saya berjanji dengan sumpah supaya mentaati perintahnya. Katanya, ‘Janganlah pilih isteri untuk anakku di kalangan gadis-gadis di tanah Kanaan ini,
38. melainkan di kalangan saudara mara puak bapaku. Pergilah ke sana dengan segera.’
39. Saya bertanya kepada tuan saya, ‘Bagaimana jika gadis itu enggan mengikut saya?’
40. Dia menjawab, ‘TUHAN yang sentiasa kutaati akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu supaya tugasmu berjaya. Kamu akan mendapatkan isteri untuk anakku daripada puakku sendiri, antara saudara mara bapaku.
41. Hanya apabila mereka tidak menerimamu, barulah kamu bebas daripada sumpahmu.’
42. Ketika saya tiba di perigi hari ini, saya berdoa, ‘Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah supaya tugasku berjaya.
43. Aku akan tetap berdiri dekat perigi ini. Apabila seorang gadis datang untuk menimba air, aku akan minta dia memberi aku minum dari buyungnya.
44. Jika dia mahu melakukannya dan menawarkan diri untuk memberi minum kepada unta-untaku, maka dialah yang dipilih oleh TUHAN untuk menjadi isteri anak tuanku itu.’