Kejadian 24:17-31 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

17. Hamba Abraham berlari untuk menemuinya lalu berkata, “Tolong, nak, berilah saya minum dari buyungmu.”

18. Gadis itu berkata, “Minumlah, tuan,” lalu dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahu, dan sambil memegang buyung dia memberi minum kepada hamba itu.

19. Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Saya akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sepuas-puasnya.”

20. Kemudian dengan cepat dia menuang air dari buyungnya ke dalam tempat minum unta, lalu dia berlari balik ke perigi untuk mengambil lebih banyak air sehingga semua binatang itu puas minum.

21. Sementara itu hamba Abraham masih memperhatikan gadis itu tanpa berkata sepatah pun. Dia ingin tahu sama ada TUHAN menjayakan dia untuk menjalankan tugasnya atau tidak.

22. Setelah semua unta minum sepuas-puasnya, hamba Abraham mengambil perhiasan emas yang berharga lalu mengenakannya pada hidung gadis itu, dan menyarungkan dua gelang emas pada lengannya.

23. Kemudian hamba itu berkata, “Tolong beritahukan saya siapa bapamu. Adakah tempat bermalam di rumahnya untuk saya dan semua orang saya?”

24. “Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka,” jawab gadis itu.

25. “Di rumah kami ada tempat bermalam untuk tuan dan juga banyak jerami serta makanan ternak.”

26. Kemudian hamba itu berlutut dan menyembah TUHAN.

27. Dia berkata, “Pujilah TUHAN, Allah tuanku Abraham. TUHAN setia dan menepati janji-Nya kepada tuanku Abraham. Dia memimpin aku langsung kepada saudara mara tuanku.”

28. Gadis itu berlari ke rumah ibunya dan menceritakan segala peristiwa itu.

29-30. Ribka mempunyai seorang abang yang bernama Laban. Dia mendengar cerita adiknya tentang apa yang dikatakan hamba itu. Dia juga nampak perhiasan pada hidung adiknya dan gelang pada lengannya. Oleh itu Laban berlari ke luar rumah untuk menemui hamba Abraham yang masih berdiri dekat perigi bersama dengan unta-untanya.

31. Laban berkata, “Tuan orang yang diberkati TUHAN! Janganlah tinggal di luar. Marilah ke rumah kami. Kami sudah menyediakan bilik untuk tuan dan juga tempat bagi unta-unta tuan.”

Kejadian 24