Kejadian 21:2-14 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Pada masa yang telah ditentukan Allah, ketika Abraham sudah tua, Sara mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki.

3. Abraham menamakan anak itu Ishak.

4. Ketika Ishak berumur lapan hari, Abraham menyunatnya, menurut perintah Allah.

5. Abraham berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan.

6. Sara berkata, “Allah sudah membuat aku tertawa kerana gembira. Setiap orang yang mendengar hal ini akan tertawa bersama-samaku.”

7. Kemudian dia berkata lagi, “Siapakah dahulunya dapat berkata kepada suamiku bahawa aku akan menyusui anak? Namun aku sudah melahirkan juga seorang anak lelaki untuk dia ketika umurnya sudah lanjut.”

8. Anak itu bertambah besar, lalu pada hari dia bercerai susu, Abraham mengadakan jamuan besar.

9. Pada suatu hari Ismael, anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir itu, sedang bermain dengan Ishak, anak Sara.

10. Sara nampak hal itu lalu berkata kepada Abraham, “Usirlah hamba perempuan ini bersama dengan anak lelakinya. Anak hamba perempuan ini tidak boleh mendapat bahagian daripada hartamu yang akan diwarisi anak lelakiku, Ishak.”

11. Hal itu sangat menyusahkan hati Abraham kerana Ismael anaknya juga.

12. Tetapi Allah berfirman kepada Abraham, “Janganlah bersusah hati kerana hambamu Hagar dan anaknya itu. Buatlah apa yang disuruh oleh Sara kepadamu kerana melalui Ishak, engkau akan mendapat keturunan yang sudah Aku janjikan itu.

13. Aku juga akan mengurniakan banyak anak cucu kepada anak Hagar, supaya mereka menjadi suatu bangsa, kerana dia anakmu juga.”

14. Awal pagi esoknya, Abraham memberikan makanan dan satu kirbat kulit berisi air kepada Hagar. Dia meletakkan budak itu pada belakang Hagar dan menyuruhnya pergi dari situ. Lalu Hagar berangkat dan mengembara di padang gurun Bersyeba.

Kejadian 21