16. lalu pergi duduk kira-kira 100 meter dari tempat itu. Dia berkata dalam hati, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Lalu dia menangis.
17. Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, “Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu.
18. Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.”
19. Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberikan minuman kepada anaknya.
20. Allah menyertai Ismael. Anak itu bertambah besar; dia tinggal di padang gurun Paran dan menjadi pemburu yang mahir.
21. Ibunya mengahwinkan dia dengan seorang wanita Mesir.
22. Pada masa itu Raja Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, datang kepada Abraham dan berkata, “Allah menolong kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.
23. Oleh itu bersumpahlah di sini, di hadapan Allah bahawa kamu tidak akan memperdayakan beta, anak-anak beta ataupun keturunan beta. Sebagaimana beta sudah berbaik hati kepadamu, berbuatlah begitu juga kepada beta dan kepada negeri tempat kamu tinggal.”
24. Abraham berkata, “Baiklah, hamba bersumpah.”
25. Tetapi kemudian Abraham bersungut kepada Raja Abimelekh tentang perigi yang sudah dirampas oleh hamba-hamba baginda.
26. Raja Abimelekh bertitah, “Beta tidak tahu siapa yang sudah melakukan itu. Kamu belum memberitahu beta, dan inilah kali pertama beta mendengar tentang hal itu.”
27. Kemudian Abraham memberikan beberapa ekor domba dan lembu kepada Raja Abimelekh, lalu mereka berdua membuat perjanjian.
28. Abraham mengasingkan tujuh ekor anak domba daripada kawanan ternakannya,
29. lalu Raja Abimelekh bertanya kepadanya, “Mengapa kamu melakukan hal itu?”
30. Abraham menjawab, “Terimalah ketujuh-tujuh ekor anak domba ini sebagai tanda pengakuan raja bahawa hambalah yang menggali perigi ini.”
31. Demikianlah tempat itu dinamakan Bersyeba, kerana di sanalah mereka berdua membuat satu perjanjian dengan sumpah.
32. Setelah mereka membuat perjanjian di Bersyeba, Raja Abimelekh dan Pikhol kembali ke negeri orang Filistin.
33. Kemudian Abraham menanam sebatang pokok di Bersyeba, lalu menyembah TUHAN, Allah yang abadi.
34. Selepas itu Abraham tinggal lama di negeri orang Filistin.