Kejadian 21:13-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Aku juga akan mengurniakan banyak anak cucu kepada anak Hagar, supaya mereka menjadi suatu bangsa, kerana dia anakmu juga.”

14. Awal pagi esoknya, Abraham memberikan makanan dan satu kirbat kulit berisi air kepada Hagar. Dia meletakkan budak itu pada belakang Hagar dan menyuruhnya pergi dari situ. Lalu Hagar berangkat dan mengembara di padang gurun Bersyeba.

15. Apabila air di dalam kirbat sudah habis, Hagar meletakkan anaknya di bawah belukar,

16. lalu pergi duduk kira-kira 100 meter dari tempat itu. Dia berkata dalam hati, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Lalu dia menangis.

17. Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, “Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu.

18. Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.”

19. Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberikan minuman kepada anaknya.

20. Allah menyertai Ismael. Anak itu bertambah besar; dia tinggal di padang gurun Paran dan menjadi pemburu yang mahir.

21. Ibunya mengahwinkan dia dengan seorang wanita Mesir.

22. Pada masa itu Raja Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, datang kepada Abraham dan berkata, “Allah menolong kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.

23. Oleh itu bersumpahlah di sini, di hadapan Allah bahawa kamu tidak akan memperdayakan beta, anak-anak beta ataupun keturunan beta. Sebagaimana beta sudah berbaik hati kepadamu, berbuatlah begitu juga kepada beta dan kepada negeri tempat kamu tinggal.”

24. Abraham berkata, “Baiklah, hamba bersumpah.”

25. Tetapi kemudian Abraham bersungut kepada Raja Abimelekh tentang perigi yang sudah dirampas oleh hamba-hamba baginda.

26. Raja Abimelekh bertitah, “Beta tidak tahu siapa yang sudah melakukan itu. Kamu belum memberitahu beta, dan inilah kali pertama beta mendengar tentang hal itu.”

Kejadian 21