Kejadian 19:4-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Sebelum para tetamu itu tidur, orang Sodom mengepung rumah itu. Semua orang lelaki di kota itu, baik yang tua mahupun yang muda berada di situ.

5. Mereka memanggil Lot dan bertanya, “Di manakah orang yang datang bermalam di rumahmu? Serahkan mereka kepada kami, supaya kami dapat bersemburit dengan mereka!”

6. Lot keluar dari rumahnya lalu menutup pintu.

7. Dia berkata kepada orang Sodom di situ, “Saudara-saudara, saya mohon, janganlah lakukan perbuatan sejahat itu!

8. Dengarlah, saya mempunyai dua orang anak perempuan yang masih dara. Biarlah saya serahkan mereka kepada kamu, dan kamu boleh melakukan apa saja terhadap mereka. Tetapi janganlah apa-apakan tetamu saya, kerana saya wajib melindungi mereka.”

9. Tetapi mereka berkata, “Pergi! Engkau orang asing mahu mengarah kami? Pergi! Jika tidak, kami akan mengajar engkau lebih berat daripada mereka.” Kemudian mereka menolak Lot dan maju untuk memecahkan pintu.

10. Tetapi kedua-dua tetamu itu menghulurkan tangan dan menarik Lot masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu.

11. Selepas itu mereka membutakan semua orang yang berada di luar, sehingga orang ramai itu tidak dapat mencari pintu rumah.

12. Kedua-dua tetamu itu berkata kepada Lot, “Jika kamu mempunyai anak lelaki, anak perempuan, menantu atau sanak saudara lain yang tinggal di dalam kota ini, bawalah mereka keluar dari sini,

13. kerana kami akan memusnahkan tempat ini. TUHAN sudah mendengar tuduhan-tuduhan berat terhadap penduduk di sini dan Dia menghantar kami untuk memusnahkan kota Sodom.”

14. Kemudian Lot memberitahu kedua-dua orang bakal menantunya, “Lekaslah keluar dari sini, kerana TUHAN akan memusnahkan tempat ini.” Tetapi mereka menyangka Lot bergurau sahaja.

15. Pada waktu subuh, malaikat-malaikat itu mendesak Lot supaya lekas berangkat. “Cepatlah,” kata mereka. “Bawalah isterimu dan kedua-dua orang anak perempuanmu, dan pergilah dari sini, supaya kamu tidak mati apabila kota ini dimusnahkan.”

16. Lot berlambat-lambat, tetapi TUHAN mengasihani dia; oleh itu kedua-dua tetamunya memegang tangan Lot, isterinya, serta kedua-dua orang anak perempuannya, dan membawa mereka ke luar kota.

17. Selepas itu satu daripada malaikat itu berkata, “Larilah, selamatkanlah diri kamu! Jangan menoleh, dan jangan berhenti di lembah. Larilah ke pergunungan supaya kamu tidak terbunuh!”

18. Tetapi Lot menjawab, “Janganlah suruh kami lari ke pergunungan.

19. Memang tuan sudah banyak menolong saya dan menyelamatkan saya, tetapi pergunungan itu terlalu jauh. Jangan-jangan bencana akan menyusuli saya dan saya akan mati sebelum tiba di sana.

20. Lihat, ada kota kecil yang tidak jauh dari sini. Benarkanlah saya lari ke sana supaya selamat.”

21. Malaikat itu menjawab, “Baiklah, aku tidak akan memusnahkan kota itu.

22. Cepat! Larilah! Aku tidak dapat berbuat apa-apa sebelum kamu sampai di sana.”Oleh sebab Lot mengatakan kota itu kecil, maka kota itu dinamakan Zoar.

23. Matahari sedang terbit ketika Lot tiba di Zoar.

24. Tiba-tiba TUHAN menurunkan hujan belerang yang berapi ke atas Sodom dan Gomora.

Kejadian 19