Kejadian 19:1-10 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Apabila dua malaikat itu tiba di Sodom pada petang itu, Lot sedang duduk di pintu gerbang kota. Sebaik sahaja dia nampak mereka, dia bangun dan pergi berjumpa dengan mereka. Dia bersujud di hadapan mereka

2. dan berkata, “Tuan-tuan, sila singgah di rumah saya. Tuan-tuan dapat membasuh kaki dan bermalam di rumah saya. Jika mahu, esok tuan-tuan dapat bangun awal dan meneruskan perjalanan.”Tetapi mereka menjawab, “Terima kasih, tetapi kami akan bermalam di sini saja, di padang kota.”

3. Lot mendesak mereka, maka akhirnya mereka masuk bersama dengan dia ke dalam rumahnya. Lot menyediakan hidangan lazat dan membakar roti secukupnya, lalu mereka makan.

4. Sebelum para tetamu itu tidur, orang Sodom mengepung rumah itu. Semua orang lelaki di kota itu, baik yang tua mahupun yang muda berada di situ.

5. Mereka memanggil Lot dan bertanya, “Di manakah orang yang datang bermalam di rumahmu? Serahkan mereka kepada kami, supaya kami dapat bersemburit dengan mereka!”

6. Lot keluar dari rumahnya lalu menutup pintu.

7. Dia berkata kepada orang Sodom di situ, “Saudara-saudara, saya mohon, janganlah lakukan perbuatan sejahat itu!

8. Dengarlah, saya mempunyai dua orang anak perempuan yang masih dara. Biarlah saya serahkan mereka kepada kamu, dan kamu boleh melakukan apa saja terhadap mereka. Tetapi janganlah apa-apakan tetamu saya, kerana saya wajib melindungi mereka.”

9. Tetapi mereka berkata, “Pergi! Engkau orang asing mahu mengarah kami? Pergi! Jika tidak, kami akan mengajar engkau lebih berat daripada mereka.” Kemudian mereka menolak Lot dan maju untuk memecahkan pintu.

10. Tetapi kedua-dua tetamu itu menghulurkan tangan dan menarik Lot masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu.

Kejadian 19