Kejadian 18:4-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Biarlah saya mengambil air untuk membasuh kaki tuan-tuan. Silakan tuan-tuan melepaskan lelah di bawah pokok ini.

5. Saya akan menghidangkan makanan sekadarnya, supaya tuan-tuan mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Tuan-tuan sudah menghormati saya dengan sudi singgah di tempat kediaman saya ini.”Mereka menjawab, “Terima kasih kerana kebaikanmu. Kami akan singgah.”

6. Abraham segera masuk ke dalam khemah dan berkata kepada Sara, “Cepat, ambillah tepung yang terbaik dan buatlah roti.”

7. Kemudian Abraham berlari ke tempat kawanan ternakannya dan memilih seekor anak lembu yang muda dan gemuk. Dia memberikan anak lembu itu kepada orang suruhan, yang segera menyiapkannya.

8. Selepas itu Abraham mengambil sedikit krim, sedikit susu, dan daging yang sudah dimasak, lalu menghidangkan semua itu kepada tetamunya. Semasa mereka makan, Abraham sendiri melayani mereka di bawah pokok.

9. Kemudian mereka bertanya kepada Abraham, “Di manakah isterimu Sara?”“Di situ, di dalam khemah,” jawab Abraham.

10. Satu daripada mereka berkata, “Sembilan bulan lagi aku akan kembali. Pada waktu itu isterimu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.”Sara sedang memasang telinga di pintu khemah, di belakang tetamu itu.

11. Abraham dan Sara sudah lanjut usia dan Sara sudah mati haid.

12. Oleh itu Sara tertawa dalam hati dan berkata, “Aku yang sudah tua dan layu begini, mana boleh masih ingin berseketiduran dengan suamiku? Lagipun suamiku sudah tua.”

13. Kemudian TUHAN bertanya kepada Abraham, “Mengapakah Sara tertawa dan berkata, ‘Bolehkah aku melahirkan anak sedangkan aku sudah tua?’

14. Adakah sesuatu yang terlalu sukar bagi TUHAN? Sebagaimana yang telah Aku firmankan, sembilan bulan lagi Aku akan kembali ke sini. Pada waktu itu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.”

15. Oleh sebab Sara takut, dia menafikannya. “Saya tidak tertawa,” katanya.Tetapi TUHAN menjawab, “Engkau memang tertawa tadi.”

Kejadian 18