Kejadian 18:11-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Abraham dan Sara sudah lanjut usia dan Sara sudah mati haid.

12. Oleh itu Sara tertawa dalam hati dan berkata, “Aku yang sudah tua dan layu begini, mana boleh masih ingin berseketiduran dengan suamiku? Lagipun suamiku sudah tua.”

13. Kemudian TUHAN bertanya kepada Abraham, “Mengapakah Sara tertawa dan berkata, ‘Bolehkah aku melahirkan anak sedangkan aku sudah tua?’

14. Adakah sesuatu yang terlalu sukar bagi TUHAN? Sebagaimana yang telah Aku firmankan, sembilan bulan lagi Aku akan kembali ke sini. Pada waktu itu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.”

15. Oleh sebab Sara takut, dia menafikannya. “Saya tidak tertawa,” katanya.Tetapi TUHAN menjawab, “Engkau memang tertawa tadi.”

16. Kemudian ketiga-tiga tetamu itu meninggalkan tempat itu, lalu pergi ke suatu tempat. Di situ mereka dapat memandang kota Sodom. Abraham mengikut mereka untuk menghantar mereka meneruskan perjalanan.

17. TUHAN berfirman dalam hati, “Aku tidak mahu merahsiakan perkara yang akan Aku lakukan daripada Abraham.

18. Keturunannya akan menjadi bangsa yang besar dan berkuasa, dan Aku akan memberkati semua bangsa di bumi kerana dia.

19. Aku sudah memilih dia supaya memerintah anak-anak dan keturunannya untuk taat kepada-Ku dan melakukan hal yang benar dan adil. Jika mereka berbuat demikian, Aku akan memenuhi segala janji-Ku kepada Abraham.”

20. Selanjutnya TUHAN berfirman kepada Abraham, “Ada tuduhan yang berat sekali terhadap penduduk Sodom dan Gomora, dan memang dosa mereka itu sangat besar.

21. Oleh itu Aku hendak turun ke sana untuk menyiasat sama ada tuduhan yang sudah Aku dengar itu benar atau tidak.”

22. Kemudian dua daripada tetamu itu berangkat menuju ke Sodom, tetapi TUHAN tinggal dengan Abraham.

23. Abraham menghampiri TUHAN dan bertanya, “Benarkah Engkau mahu membinasakan orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah?

24. Jika terdapat lima puluh orang yang tidak bersalah di dalam kota itu, adakah Engkau akan memusnahkan seluruh kota itu? Tidakkah Engkau mahu mengampuninya untuk menyelamatkan yang lima puluh orang itu?

Kejadian 18