Kejadian 14:1-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Empat orang raja, iaitu Raja Amrafel dari Babilonia, Raja Ariokh dari Elasar, Raja Kedorlaomer dari Elam, dan Raja Tideal dari Goyim,

2. keluar berperang melawan lima orang raja lain, iaitu Raja Bera dari Sodom, Raja Birsya dari Gomora, Raja Syinab dari Adma, Raja Semeber dari Zeboim, dan raja dari Bela (atau Zoar).

3. Kelima-lima orang raja itu bersekutu lalu mengumpulkan tentera mereka di Lembah Sidim, yang sekarang disebut Laut Mati.

4. Mereka telah ditakluk oleh Raja Kedorlaomer selama dua belas tahun, tetapi pada tahun yang ketiga belas mereka memberontak melawan baginda.

5. Pada tahun keempat belas, Raja Kedorlaomer dan sekutu-sekutunya datang dengan tentera mereka, lalu mengalahkan orang Refaim di Asyterot-Karnaim, orang Zuzim di Ham, orang Emim di dataran Kiryataim,

6. dan orang Hori di pergunungan Edom, lalu mengejar mereka sejauh El-Paran di pinggir padang gurun.

7. Kemudian raja-raja itu berpatah balik dan kembali ke En-Mispat yang sekarang disebut Kades. Mereka menaklukkan seluruh tanah orang Amalek dan mengalahkan orang Amori yang tinggal di Hazezon-Tamar.

8. Selepas itu raja dari Sodom, Gomora, Adma, Zeboim, dan Bela mengatur barisan tentera mereka di Lembah Sidim, lalu berperang

9. melawan raja dari Elam, Goyim, Babilonia, dan Elasar; lima orang raja melawan empat orang raja.

10. Lembah itu penuh dengan lubang tar. Apabila raja dari Sodom dan Gomora cuba melarikan diri dari peperangan, mereka jatuh ke dalam lubang tar. Tiga orang raja yang lain berjaya melarikan diri ke pergunungan.

11. Empat orang raja yang menang, menjarah segala sesuatu di Sodom dan Gomora, termasuk bahan makanan, lalu mereka pergi dari situ.

12. Lot, anak saudara Abram, juga tinggal di Sodom, maka dia pun ditawan oleh musuh berserta segala harta bendanya.

13. Tetapi seorang yang berjaya melepaskan diri melaporkan segala peristiwa itu kepada Abram, orang Ibrani itu. Abram tinggal berhampiran dengan pokok-pokok keramat, tempat ibadat kepunyaan seorang Amori yang bernama Mamre. Mamre dan saudara-saudaranya, Eskol dan Aner, ialah teman sekutu Abram.

14. Apabila Abram mendengar bahawa anak saudaranya sudah ditawan, dia mengumpulkan semua orang yang dapat berperang di perkhemahannya, sebanyak 318 orang lalu mengejar empat orang raja itu sampai ke kota Dan.

15. Di sana Abram membahagikan orangnya menjadi beberapa pasukan, lalu menyerang musuh pada waktu malam dan mengalahkan mereka. Dia mengejar mereka sampai ke Hoba di sebelah utara kota Damsyik.

Kejadian 14