Kebijaksanaan Salomo 7:9-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Permata yang mahal tidak dapat disamakan dengannya; di hadapannya semua emas di dunia hanya segenggam pasir, dan perak hanya lumpur.

10. Aku menganggapnya lebih berharga daripada kesihatan dan rupa yang tampan. Aku lebih menyukainya daripada segala cahaya, kerana terang kebijaksanaan tidak pernah pudar.

11. Bersama kebijaksanaan kuperoleh segala harta; kebijaksanaan mendatangkan kekayaan berlimpah bagiku.

12. Dengan gembira kuterima semua itu kerana kebijaksanaanlah yang mengaturnya. Tetapi aku belum sedar bahawa semua itu berasal daripadanya.

13. Dengan tulus ikhlas aku belajar daripadanya, dan dengan rela aku membahagi-bahagikannya, dan kekayaannya tidak kusembunyikan.

14. Kebijaksanaan ialah harta yang tidak ada habisnya. Orang yang menggunakannya menjadi sahabat Allah, oleh sebab Allah berkenan kepada hasil kebijaksanaan.

15. Semoga Allah membolehkan aku bercakap dengan pengertian, dan fikiranku sesuai dengan pemberian-Nya kepadaku, kerana Allah sendiri menuntun orang bijaksana dan menegur kesalahan mereka,

16. oleh sebab kita dengan seluruh fikiran, perkataan, dan kecekapan kita ada di bawah kuasa-Nya.

17. Dia sendiri memberi aku pengertian yang tepat tentang susunan alam dan segala kekuatannya,

18. tentang awal, pertengahan, dan akhir zaman, tentang gerakan matahari dan musim yang silih berganti,

19. tentang pusingan tahun dan tempat bintang-bintang,

20. tentang sifat binatang dan naluri binatang buas, tentang kekuatan angin dan daya fikir manusia, tentang bermacam-macam tanaman dan khasiat akarnya.

21. Aku mempelajari hal-hal yang sudah diketahui mahupun yang masih tersembunyi kerana diajar oleh kebijaksanaan yang membentuk segala sesuatu.

22. Roh kebijaksanaan itu arif dan suci; dia tunggal tetapi banyak caranya dia menyatakan diri. Dia halus dan bergerak dengan bebas, jelas, bersih, terang, dan tidak dapat dirosak. Dia cerdas dan suka akan kebaikan.

23. Dia tidak terkalahkan, dia murah hati dan sayang kepada manusia. Dia boleh diharap, mantap, dan tidak kenal susah. Dia mengawasi dan menguasai segala-galanya serta menyelami semua roh arif dan murni, bahkan yang paling halus.

24. Kebijaksanaan lebih mudah bergerak daripada segala gerakan; kerana bersih, dia menembus segala sesuatu.

25. Kebijaksanaan ialah nafas kekuatan Allah, pancaran murni daripada kemuliaan Yang Maha Kuasa. Maka tiada sesuatu pun yang bernoda dapat menyusup ke dalamnya,

26. oleh sebab kebijaksanaan adalah pantulan cahaya abadi dan cermin sempurna bagi kegiatan dan kebaikan Allah.

Kebijaksanaan Salomo 7