Kebijaksanaan Salomo 6:2-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Perhatikanlah, hai kamu yang memerintah banyak orang dan berasa bangga kerana banyak bangsa tunduk kepada kamu,

3. oleh sebab kuasa telah kamu terima daripada Tuhan Yang Maha Tinggi. Dia akan menyelidik semua perbuatan kamu dan meneliti segala rancangan kamu.

4. Kamu seharusnya menjalankan pemerintahan Tuhan. Tetapi kamu tidak memerintah dengan adil, tidak menepati hukum dan tidak melakukan kehendak Allah.

5. Oleh itu kamu akan segera diperlakukan dengan keras oleh Tuhan, kerana bagi penguasa, hukumannya berat.

6. Kalau orang bawahan membuat kesalahan, mereka mudah diampuni kerana belas kasihan. Tetapi kesalahan penguasa dihukum dengan berat.

7. Tuhan yang berkuasa terhadap segala-galanya tidak takut kepada sesiapa pun dan tidak peduli akan kebesaran orang mana pun. Dia mencipta yang besar dan yang kecil, dan semuanya dipelihara-Nya dengan cara yang sama.

8. Tetapi orang yang berkuasa diperiksa dengan saksama.

9. Jadi kata-kata ini kutujukan kepada kamu, para penguasa, supaya kamu belajar bertindak dengan bijaksana dan menghindar kesalahan,

10. oleh sebab orang yang dengan suci melakukan hukum-hukum yang suci akan dinyatakan suci. Orang yang menjadi terpelajar dalam hal itu akan dibela di Pengadilan kelak.

11. Jadi inginkanlah dan rindukanlah ajaranku, maka kamu akan menjadi orang yang terdidik.

12. Kebijaksanaan bersinar dengan terang dan tidak dapat menjadi pudar. Orang yang mencintai dan mencarinya akan mudah menemukannya.

13. Kebijaksanaan segera memperkenalkan diri kepada orang yang merindukannya.

14. Orang yang bangun pagi-pagi untuk mencari kebijaksanaan tidak perlu bersusah payah, oleh sebab mereka akan menemukannya di hadapan pintu.

15. Orang yang merenungkan kebijaksanaan akan mendapat pengertian sempurna. Orang yang tanpa lelah mencari kebijaksanaan akan segera berasa tenteram,

16. oleh sebab kebijaksanaan sendiri berkeliling mencari orang yang layak memilikinya. Kebijaksanaan suka memperlihatkan diri kepada orang di mana pun mereka berada, dan menjumpai mereka dalam setiap fikiran mereka.

Kebijaksanaan Salomo 6