1. Pada hari itu orang jujur akan berdiri dengan penuh keyakinan di hadapan orang yang telah menganiayanya dan meremehkan jerih payahnya.
2. Mereka akan kehairanan melihat orang jujur itu selamat, dan akan gementar kerana ketakutan yang dahsyat.
3. Lalu mereka akan menyesali perbuatan mereka dan sambil mengeluh kerana cemas, mereka berkata sesama sendiri,
4. “Dialah orang yang dahulu kita tertawakan dan kita jadikan bahan ejekan. Kita ini orang bodoh kerana menganggap cara hidupnya seperti orang gila dan kematiannya tidak terhormat.
5. Sekarang dia termasuk golongan anak-anak Allah dan tempatnya di kalangan orang suci.
6. Jadi kitalah yang tersesat daripada jalan yang benar. Kita tidak disinari terang kebenaran dan tidak pernah menangkap cahayanya.
7. Seumur hidup, kita menempuh jalan-jalan dosa yang menuju ke arah kebinasaan. Kita melintasi padang gurun yang tidak ada jalannya. Jalan-jalan Tuhan tidak kita kenal.
8. Kita membanggakan diri kita dan bercakap tentang kekayaan kita. Tetapi sekarang apa gunanya itu bagi kita?
9. Semuanya itu hilang seperti bayangan, seperti khabar yang hanya sepintas lalu.
10. Sebuah perahu yang belayar mengharung ombak di laut tidak meninggalkan bekas dan tidak ada kesan perahu itu pernah lewat.
11. Seekor burung yang terbang melintasi udara tidak meninggalkan bekas di tempat yang dilaluinya, oleh sebab udara yang ringan dibelahnya dengan kebasan sayapnya. Terbangnya cepat dan tidak ada bekas di tempat burung lewat.
12. Sebatang anak panah yang ditembakkan ke arah sasaran membelah udara. Tetapi udara yang dibelahnya segera mengalir kembali, sehingga jalan yang telah dilaluinya tidak diketahui orang.
13. Demikianlah halnya kita ini; baru lahir, kita sudah lenyap. Tidak ada kesan kebajikan yang kita tinggalkan; kita telah dibinasakan oleh kejahatan kita sendiri.”