1. Lebih baik tidak mempunyai keturunan daripada tidak mempunyai kebajikan. Kebajikan diakui Allah mahupun manusia dan akan diingat selama-lamanya.
2. Orang yang mempunyai kebajikan dijadikan teladan. Kalau sifat itu hilang, orang merindukannya. Kebajikan selama-lamanya jaya dan dimuliakan, dan keluar sebagai pemenang daripada perjuangan yang luhur.
3. Keturunan orang jahat tidak menguntungkan, sekalipun banyak jumlahnya. Kerana berasal daripada tunggul yang tidak sejati, mereka tidak kuat dasarnya dan tidak dalam akarnya.
4. Walaupun ranting-rantingnya tumbuh, tetapi hidupnya tidak lama kerana akarnya tidak dalam. Mereka digoyahkan angin dan ditumbangkan oleh taufan.
5. Dahannya patah sebelum waktunya; buahnya tidak menjadi masak dan tidak berguna.
6. Pada Hari Penghakiman, anak luar nikah menjadi saksi bagi kejahatan orang tua mereka sendiri.
7. Sebaliknya, orang baik mendapat ketenteraman walaupun mereka mati sebelum waktu mereka.
8. Orang yang lanjut usia kita hormati, tetapi bukan kerana jumlah tahun mereka yang banyak,
9. oleh sebab orang yang lanjut usia, dalam erti sebenarnya ialah orang yang bijaksana dan hidup baik.
10. Seorang yang berkenan kepada Allah dikasihi, dan dia dipindahkan sementara masih hidup antara orang yang berdosa.
11. Dia diambil supaya hati dan budinya tidak disesatkan oleh tipu daya dan kejahatan,
12. oleh sebab yang baik dapat menjadi kabur kerana pengaruh jahat, dan hawa nafsu yang bergelora dapat merosak budi yang tidak bercela.
13. Dalam waktu singkat dia mencapai kesempurnaan, dan dengan demikian menggenapi waktu yang lama.
14. Kerana Tuhan berkenan kepada cara hidupnya, maka cepat-cepat Dia mengambilnya dari dunia yang jahat ini. Orang yang melihatnya tidak mengerti. Mereka tidak faham bahawa
15. Allah menyayangi dan mengasihani orang pilihan-Nya dan melindungi orang yang salih.
16. Orang baik yang sudah mati mempermalukan orang jahat yang masih hidup. Orang muda yang cepat menjadi sempurna mempermalukan orang jahat yang lanjut usia.
17. Mereka melihat ajal orang bijaksana, tetapi tidak mengerti akan rancangan Tuhan bagi mereka, dan mengapa Tuhan mengamankan mereka.
18. Orang jahat meremehkan kematian orang bijaksana, tetapi Tuhan akan mentertawakan mereka.
19. Kalau mereka mati, mereka tidak akan dikuburkan dengan kehormatan. Bahkan antara orang mati mereka dicemuh untuk selama-lamanya. Mereka dicampakkan Tuhan sehingga terpelanting tidak bersuara. Seperti bangunan, mereka digoncangkan dari asasnya dan dijadikan reruntuhan. Mereka akan sengsara dan segera dilupakan.
20. Dengan gementar mereka akan tampil di Pengadilan supaya dosa-dosa mereka diperhitungkan. Mereka akan dituduh oleh kejahatan mereka sendiri.