5. Sesudah diseksa sebentar, mereka mendapat anugerah besar, oleh sebab Allah hanya menguji mereka dan mendapati mereka layak bagi diri-Nya.
6. Dia menguji mereka seperti emas di dalam dapur api, lalu menerima mereka seperti korban yang menyenangkan hati-Nya.
7. Apabila Allah datang melindungi mereka, cahaya mereka akan berpijar dan membakar orang jahat seperti bunga api di ladang jerami.
8. Orang baik akan memerintah bangsa-bangsa, dan Tuhan menjadi raja mereka untuk selama-lamanya.
9. Orang yang percaya kepada Allah akan mengerti bahawa semua jalan Allah benar. Orang yang setia hidup dalam kasih Allah oleh sebab Dia berbelas kasihan dan murah hati kepada orang pilihan-Nya.
10. Tetapi orang jahat akan dihukum, sesuai dengan fikiran mereka, oleh sebab mereka telah memberontak terhadap Tuhan dan tidak menghiraukan yang benar.
11. Orang yang tidak menghiraukan kebijaksanaan dan pendidikan menghadapi kehidupan yang penuh sengsara tanpa harapan. Segala usaha mereka sia-sia dan semua jerih payah mereka tidak berguna.
12. Isteri mereka tidak tahu akan tanggungjawab dan anak-anak mereka sesat. Keturunan mereka hidup tanpa berkat.
13. Berbahagialah wanita mandul yang hidup tidak bercela. Pada Hari Penghakiman mereka akan mendapat ganjaran.
14. Pada hari itu lelaki yang dikembiri pun akan dianugerahkan kebahagiaan, asal mereka telah mentaati semua Taurat Musa dan tidak merancang yang jahat terhadap Tuhan. Kerana kesetiaan mereka, mereka mendapat pahala istimewa dan tempat yang bahagia di kediaman Tuhan.
15. Perbuatan baik seperti pokok yang menghasilkan buah yang mulia, dan kebijaksanaan seperti akar yang selalu menunjang kehidupan.
16. Tetapi anak yang lahir daripada zina atau hubungan terlarang akan mati dan tidak mencapai umur dewasa.
17. Sekalipun mereka panjang umur, mereka dianggap remeh dan tidak dihormati pada masa tua mereka.