2. Kebetulan sahaja kita lahir, dan sesudah hidup ini berakhir, keadaan kita sama sahaja, seolah-olah tidak pernah ada. Nafas kita hanya asap, dan akal kita hanya merupakan bunga api percikan denyut jantung kita.
3. Apabila api itu padam, badan kita hancur menjadi debu dan roh kita tersebar seperti udara.
4. Lambat-laun perbuatan kita dilupakan dan nama kita hilang daripada ingatan. Hidup kita berlalu seperti jejak awan atau kabut yang lenyap dalam panas matahari.
5. Masa hidup kita seperti bayangan yang berlalu. Kita tidak mungkin kembali dari alam maut, kerana hal itu sudah dimeteraikan dan tiada jalan kembali.”
6. Orang jahat berkata, “Mari kita nikmati segala yang baik dalam hidup ini dan cepat manfaatkan semua yang tersedia di dunia seperti pada masa muda kita.
7. Mari kita minum wain yang mahal dan pakai minyak wangi sepuas-puasnya; jangan tinggalkan sekuntum bunga pun pada musim semi.
8. Mari kita rangkai bunga mawar untuk hiasan kepala selagi masih kuncup dan belum layu.
9. Baiklah kita semua ikut berpesta pora dan meninggalkan tanda-tanda kegembiraan di mana-mana; itulah hak dan bahagian kita!”