Kebijaksanaan Salomo 19:13-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Sambaran petir yang dahsyat menandakan hukuman yang segera menimpa orang Mesir yang berdosa. Mereka mendapat hukuman yang setimpal dengan kejahatan mereka, kerana mereka sangat benci kepada orang asing.

14. Penduduk Sodom tidak mahu menerima pendatang yang tidak dikenali oleh mereka, tetapi orang Mesir malah memperhamba tetamu yang telah berbuat baik kepada mereka.

15. Penduduk Sodom dihukum kerana menyambut orang asing dengan permusuhan.

16. Tetapi mula-mula orang Mesir menyambut orang asing dengan perayaan-perayaan gembira dan memberikan hak yang sama kepada mereka, tetapi kemudian menyeksa mereka dengan kerja paksa yang kejam.

17. Oleh itu orang Mesir juga ditimpa kebutaan seperti orang Sodom yang datang ke rumah Lot, orang salih itu, ketika mereka diliputi kegelapan yang pekat dan harus meraba-raba untuk menemukan pintu rumah sendiri.

18. Setiap tali kecapi mempunyai nadanya sendiri, tetapi gabungan nada-nada itu dapat menghasilkan lagu yang berbeza-beza. Begitu juga unsur-unsur alam bergabung membentuk susunan yang baru. Hal itu nampak jelas kalau kita melihat apa yang telah terjadi:

19. Binatang darat mula hidup di dalam air dan binatang yang hidup di dalam air naik ke darat.

20. Bahkan api dapat menyala terus di dalam air, dan air lupa akan kemampuannya untuk memadamkan api.

21. Tetapi api itu tidak dapat membakar makhluk fana yang berjalan di dalamnya, dan tidak pula mencairkan makanan dari syurga yang biasanya mudah mencair seperti ais.

22. Ya Tuhan, dalam segala-galanya umat-Mu Kaujadikan agung dan mulia. Mereka tidak pernah Kauabaikan, melainkan selalu Kautolong di mana-mana.

Kebijaksanaan Salomo 19