18. Orang yang hampir mati bergelumang di mana-mana, sambil menyatakan apa sebabnya mereka mati.
19. Hal itu sudah diberitahukan kepada mereka dalam mimpi yang mengerikan itu, supaya mereka tidak mati tanpa mengetahui sebabnya mereka ditimpa bencana.
20. Maut juga mendatangi umat-Mu, kerana banyak antara mereka mati di padang gurun. Tetapi kemurkaan-Mu tidak berlangsung lama.
21. Harun, yang tidak bercela, segera maju untuk membela mereka. Sebagai imam, dia memanjatkan doa dan membakar kemenyan untuk mohon ampun terhadap dosa mereka. Dengan doa dan kemenyan sebagai senjata, dia menahan kemurkaan-Mu dan mengakhiri bencana itu. Dengan perbuatan itu dia menunjukkan bahawa dia hamba-Mu.
22. Dia meredakan kemurkaan-Mu bukan dengan tenaga jasmani atau dengan kekuatan senjata, melainkan dengan doa, dan mengingatkan Engkau akan perjanjian yang Kauberikan dengan sumpah kepada nenek moyang kami.
23. Mayat-mayat sudah tergeletak bertimbun-timbun, tetapi Harun berdiri di tengah-tengah untuk menahan kemurkaan-Mu dan mencegahnya membinasakan orang yang masih hidup.
24. Jubahnya yang panjang berhiaskan lambang-lambang alam semesta. Penutup dadanya bertatahkan empat baris batu permata yang diukir dengan nama-nama nenek moyang kami. Hiasan pada serbannya melambangkan keagungan-Mu.
25. Tanda-tanda itu membuat malaikat maut mundur ketakutan. Umat-Mu sudah merasai kemurkaan-Mu, dan pengalaman itu sudah cukup bagi mereka.