Kebijaksanaan Salomo 18:1-12 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Tetapi umat-Mu disinari cahaya yang terang. Musuh mendengar suara, tetapi tidak melihat rupa mereka. Mereka menyebut umat-Mu bahagia kerana tidak menderita.

2. Mereka bersyukur kerana orang Israel yang diperlakukan oleh mereka dengan kejam itu tidak membalas dendam, dan mereka meminta maaf terhadap permusuhan mereka.

3. Lalu Engkau membimbing umat-Mu melalui jalan-jalan yang belum dikenali oleh mereka. Sebagai penunjuk jalan Engkau memberi mereka sebuah tiang api. Api itu bersinar terang seperti matahari, tetapi tidak mengganggu mereka dalam perjalanan yang mulia itu.

4. Tetapi musuh mereka dikurung dalam kegelapan dan tidak diizinkan melihat cahaya. Itulah hukuman yang sesuai bagi mereka kerana mereka telah mengurung umat-Mu. Padahal umat-Mu harus menyampaikan cahaya abadi Taurat-Mu kepada dunia.

5. Selepas musuh memutuskan untuk membunuh anak-anak umat-Mu, ada seorang anak yang dibuang tetapi kemudian diselamatkan. Lalu Engkau menghukum musuh dengan membunuh banyak anak mereka. Engkau menumpaskan mereka dengan serentak di dalam air yang bergelora.

6. Tetapi nenek moyang kami sudah diberitahu sebelumnya apa yang akan terjadi pada malam itu. Dengan demikian mereka dapat bergembira kerana mendapat kepastian tentang janji-janji-Mu yang telah diimani oleh mereka.

7. Umat-Mu menjadi yakin bahawa Engkau menyelamatkan orang yang taat kepada-Mu dan membinasakan musuh-musuh mereka.

8. Dengan satu tindakan Engkau menghukum musuh kami dan memberi kami kemuliaan setelah memanggil kami menjadi umat-Mu.

9. Sementara itu umat-Mu, keturunan para leluhur yang baik, diam-diam mempersembahkan korban Paska. Mereka sama-sama berjanji akan mentaati hukum-Mu dan setia kawan dalam keadaan sejahtera mahupun dalam keadaan bahaya. Sebelumnya mereka telah menyanyikan lagu-lagu pujian para leluhur.

10. Tetapi lagu-lagu itu dijawab dengan tangisan yang sedih daripada musuh. Ratapan orang yang menangisi anak-anak mereka terdengar sehingga jauh.

11. Baik hamba mahupun tuan dihukum dengan seksaan yang sama. Raja dan rakyatnya sama-sama menderita.

12. Anak-anak mereka sekalian mati dengan cara yang sama. Jumlahnya tidak terhitung, sehingga orang yang hidup tidak cukup untuk menguburkan mereka, oleh sebab dengan satu pukulan anak-anak mereka yang paling berharga telah dibunuh.

Kebijaksanaan Salomo 18