Kebijaksanaan Salomo 17:13-21 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

13. Semakin kecil kepercayaan orang kepada bantuan akal budi mereka, semakin besar ketidaktahuan mereka tentang sebab-musabab seksaan itu.

14. Sepanjang malam mereka sama-sama tidur dengan gelisah, walaupun malam itu sungguh tidak berkuasa terhadap mereka, kerana datang dari hujung dunia orang mati yang tidak berdaya itu.

15. Mereka dikejar-kejar oleh bayangan hantu yang mengerikan, dan mereka lumpuh kerana putus asa. Mereka ditimpa ketakutan yang mendadak dan tidak disangka-sangka.

16. Sesiapa sahaja yang ada di sana rebah dan ditahan di dalam penjara kegelapan tanpa jeriji.

17. Petani, gembala, dan buruh yang bekerja di luar disergap dan ditimpa oleh nasib yang sama yang tidak dapat dihindari. Mereka semua diikat dalam kegelapan dengan rantai yang sama.

18-19. Mereka gementar ketakutan oleh desiran angin atau kicauan burung di pokok, atau deru air yang deras arusnya atau deram batu-batu yang berguling-guling ke bawah, atau derap tidak kelihatan daripada binatang yang melompat-lompat, atau aum binatang buas ataupun gema yang berkumandang di pergunungan.

20. Sementara itu di bahagian lain bumi ini, matahari bersinar dengan terang benderang, dan orang sibuk dengan pekerjaan mereka tanpa gangguan.

21. Hanya musuh-musuh umat-Mu diliputi kegelapan malam yang pekat itu. Kegelapan itu adalah bayangan daripada kegelapan maut yang menantikan mereka. Mereka menjadi beban bagi diri mereka, beban yang lebih berat daripada kegelapan itu sendiri.

Kebijaksanaan Salomo 17