Kebijaksanaan Salomo 17:1-9 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Ya Tuhan, keputusan-Mu sungguh mengagumkan dan sukar dijelaskan. Oleh itu orang yang tidak diajar tersesat.

2. Orang jahat berfikir bahawa mereka dapat menguasai umat-Mu yang suci. Padahal mereka sendiri terbelenggu dalam kegelapan malam yang panjang. Mereka terkurung di rumah sendiri, terpisah daripada pemeliharaan-Mu yang abadi.

3. Mereka menyangka bahawa dosa mereka tersembunyi dan tidak terlihat kerana terselubung oleh tabir kelupaan. Tetapi mereka sangat ketakutan, bingung, dan gempar melihat bayang-bayang hantu.

4. Bahkan tempat-tempat persembunyian mereka tidak dapat melindungi mereka daripada ketakutan. Bunyi-bunyi yang mengerikan menderu-deru di sekeliling mereka. Hantu-hantu muram dengan muka yang suram muncul di depan mereka.

5. Tidak ada api yang dapat memberi cahaya kepada mereka, dan bintang-bintang yang cemerlang pun tidak mampu menerangi malam yang keji itu.

6. Yang nampak bagi mereka hanya api menakutkan yang tidak dinyalakan oleh tangan manusia. Selepas benda yang dilihat itu lenyap, mereka tetap ketakutan dan apa yang dilihat itu dianggap lebih mengerikan lagi.

7. Sia-sialah segala tipuan hasil ilmu sihir mereka, dan segala kepandaian yang dibualkan oleh mereka ternyata tidak ada gunanya.

8. Ada orang yang berjanji akan mengusir segala ketakutan dan kekacauan daripada orang yang sakit jiwa. Tetapi sekarang mereka sendiri yang sakit kerana ketakutan yang patut ditertawakan.

9. Bahkan kalau tidak ada apa-apa yang menakutkan, mereka terkejut kerana binatang yang lalu atau ular yang berdesis.

18-19. Mereka gementar ketakutan oleh desiran angin atau kicauan burung di pokok, atau deru air yang deras arusnya atau deram batu-batu yang berguling-guling ke bawah, atau derap tidak kelihatan daripada binatang yang melompat-lompat, atau aum binatang buas ataupun gema yang berkumandang di pergunungan.

Kebijaksanaan Salomo 17