Kebijaksanaan Salomo 16:2-14 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Tetapi umat-Mu tidak Kauhukum dengan cara itu. Sebaliknya, Engkau menunjukkan belas kasihan kepada mereka. Engkau mendatangkan burung puyuh, makanan yang lazat untuk memuaskan selera mereka.

3. Sedangkan ketika musuh lapar, mereka kehilangan nafsu makan kerana binatang-binatang menjijikkan yang Kaukirimkan itu. Umat-Mu lapar sebentar sahaja, lalu Engkau memberikan hidangan istimewa.

4. Memang patutlah orang yang menindas umat-Mu menderita kekurangan tanpa ampun, sedangkan umat-Mu hanya melihat bagaimana musuh-musuh mereka diseksa.

5. Ketika umat-Mu diserang binatang-binatang ganas dan mereka mati kerana gigitan ular yang berlingkar-lingkar, kemurkaan-Mu tidak terus berlangsung sehingga penghabisan.

6. Sebentar sahaja mereka dikejutkan sebagai peringatan, lalu Engkau memberi mereka tanda keselamatan untuk mengingatkan mereka kepada Taurat-Mu.

7. Sesiapa sahaja yang memandang tanda itu diselamatkan, bukan kerana apa yang dilihatnya, tetapi kerana Engkau, Penyelamat umat manusia.

8. Dengan itu Engkau meyakinkan musuh-musuh kami bahawa Engkaulah yang menyelamatkan kami daripada segala kemalangan.

9. Musuh kami mati kerana gigitan belalang dan lalat. Tidak ada ubat yang dapat menyelamatkan nyawa mereka, oleh sebab mereka patut dihukum dengan binatang-binatang seperti itu.

10. Tetapi gigitan ular berbisa tidak dapat membinasakan umat-Mu, kerana Engkau berbelas kasihan dan menolong serta menyembuhkan mereka.

11. Mereka dipagut supaya tetap ingat kepada perintah-perintah-Mu. Tetapi mereka segera disembuhkan supaya tidak sama sekali lupa kepada-Mu atau terlepas daripada kemurahan-Mu.

12. Mereka disembuhkan bukan dengan ubat atau salap, melainkan dengan firman-Mu, ya Tuhan, yang menyembuhkan segala sesuatu.

13. Engkau berkuasa terhadap hidup dan mati; Engkau dapat menurunkan orang ke ambang maut dan mengangkat mereka kembali.

14. Manusia jahat dapat membunuh orang lain, tetapi mereka tidak mampu menghidupkannya kembali dan tidak dapat mengeluarkan jiwa yang sudah masuk ke dalam dunia orang mati.

Kebijaksanaan Salomo 16