Kebijaksanaan Salomo 16:14-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

14. Manusia jahat dapat membunuh orang lain, tetapi mereka tidak mampu menghidupkannya kembali dan tidak dapat mengeluarkan jiwa yang sudah masuk ke dalam dunia orang mati.

15. Tidak seorang pun dapat terlepas daripada kuasa-Mu.

16. Bangsa jahat yang tidak mahu mengenali Engkau telah Kauhukum dengan kuasa-Mu yang besar. Mereka dilanda hujan lebat, hujan batu, dan badai yang dahsyat, lalu habis dimakan api.

17. Sesuatu yang sangat aneh terjadi: air yang biasanya memadamkan api, malah membuatnya semakin berkobar. Seluruh kekuatan alam berjuang untuk membela orang jujur.

18. Ada kalanya nyala api itu tertahan supaya tidak membakar binatang-binatang yang dikirim untuk membinasakan orang jahat. Apabila melihat hal itu mereka harus menyedari bahawa mereka dikejar hukuman Allah.

19. Tetapi pada saat lain, di tengah-tengah hujan, menyambarlah kilat yang melebihi api untuk menghanguskan hasil ladang orang jahat.

20. Tetapi umat-Mu tidak tertimpa bencana. Sebaliknya, mereka Kauberi makanan malaikat. Dari syurga, Engkau menurunkan roti yang siap untuk dimakan, dan mereka tidak perlu menyiapkannya. Roti itu sangat sedap dan sesuai benar dengan selera setiap orang.

21. Rezeki yang Kauberikan itu menunjukkan kasih sayang-Mu kepada anak-anak-Mu. Makanan itu sesuai dengan keinginan setiap orang untuk memuaskan selera masing-masing.

22. Makanan itu hilang apabila kena sinar matahari, tetapi dapat tahan dalam panas api. Hal itu Kaulakukan supaya umat-Mu menyedari bahawa hasil tuaian musuh dibinasakan oleh api yang berkobar dalam hujan batu dan badai.

23. Tetapi api itu tertahan kekuasaannya supaya umat yang taat kepada-Mu mendapat makanan.

24. Engkau Pencipta alam semesta dan semuanya takluk kepada-Mu. Seluruh ciptaan-Mu mengerahkan tenaga untuk menghukum orang jahat, tetapi menahan diri dan berbuat baik kepada orang yang percaya kepada-Mu.

25. Dengan demikian ciptaan-Mu selalu menyesuaikan diri untuk menunjukkan bagaimana Engkau dengan murah hati memelihara semua orang menurut keinginan dan keperluan mereka.

26. Hal itu Kaulakukan, ya Tuhan, supaya orang yang Kaukasihi menyedari bahawa mereka hidup tidak hanya daripada hasil ladang mereka. Firman-Mu itulah yang memelihara orang yang percaya kepada-Mu.

27. Makanan yang tidak dapat dihancurkan oleh api meleleh begitu sahaja kalau kena sinar matahari yang mula-mula.

28. Maksudnya supaya kami sedar bahawa kami harus bangun pagi-pagi sebelum matahari terbit untuk berdoa dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada-Mu.

29. Hal itu demikian, kerana harapan orang yang tidak tahu berterima kasih segera hilang seperti embun beku yang mencair dan air yang terbuang.

Kebijaksanaan Salomo 16