13. Engkau berkuasa terhadap hidup dan mati; Engkau dapat menurunkan orang ke ambang maut dan mengangkat mereka kembali.
14. Manusia jahat dapat membunuh orang lain, tetapi mereka tidak mampu menghidupkannya kembali dan tidak dapat mengeluarkan jiwa yang sudah masuk ke dalam dunia orang mati.
15. Tidak seorang pun dapat terlepas daripada kuasa-Mu.
16. Bangsa jahat yang tidak mahu mengenali Engkau telah Kauhukum dengan kuasa-Mu yang besar. Mereka dilanda hujan lebat, hujan batu, dan badai yang dahsyat, lalu habis dimakan api.
17. Sesuatu yang sangat aneh terjadi: air yang biasanya memadamkan api, malah membuatnya semakin berkobar. Seluruh kekuatan alam berjuang untuk membela orang jujur.
18. Ada kalanya nyala api itu tertahan supaya tidak membakar binatang-binatang yang dikirim untuk membinasakan orang jahat. Apabila melihat hal itu mereka harus menyedari bahawa mereka dikejar hukuman Allah.
19. Tetapi pada saat lain, di tengah-tengah hujan, menyambarlah kilat yang melebihi api untuk menghanguskan hasil ladang orang jahat.
20. Tetapi umat-Mu tidak tertimpa bencana. Sebaliknya, mereka Kauberi makanan malaikat. Dari syurga, Engkau menurunkan roti yang siap untuk dimakan, dan mereka tidak perlu menyiapkannya. Roti itu sangat sedap dan sesuai benar dengan selera setiap orang.