Kebijaksanaan Salomo 15:9-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Hidupnya singkat. Sebentar lagi dia mati, tetapi dia tidak peduli. Dia mahu bersaing dengan tukang emas, tukang perak, dan penuang gangsa. Dia berasa bangga dapat membuat barang tiruan.

10. Hatinya daripada abu dan harapannya lebih hina daripada debu. Hidupnya kurang berharga daripada tanah liat,

11. oleh sebab dia tidak mengenali Allah yang membentuknya, yang menghembuskan nyawa dan nafas kehidupan ke dalamnya.

12. Hidup manusia dianggapnya permainan belaka, suatu pasar yang membawa untung. Fikirnya dia harus mencari keuntungan dengan cara apa sahaja, bahkan dengan berbuat jahat.

13. Tukang periuk itu membuat belanga yang rapuh dan patung berhala daripada bahan tanah yang sama. Dia lebih tahu daripada orang lain bahawa dia berdosa.

14. Tetapi yang paling bodoh dan lebih malang daripada anak kecil ialah semua musuh yang menindas umat-Mu.

15. Semua patung yang disembah bangsa-bangsa itu dianggap oleh mereka tuhan, walaupun patung-patung itu tidak dapat melihat dengan matanya, tidak dapat bernafas dengan hidungnya, tidak dapat mendengar dengan telinganya, tidak dapat meraba dengan jarinya, dan tidak dapat berjalan dengan kakinya.

16. Semua patung itu buatan manusia yang jiwa mereka sendiri hanya pinjaman sahaja. Tidak ada seorang manusia yang dapat membuat suatu berhala yang bernyawa seperti dirinya.

17. Dia makhluk yang fana, maka apa sahaja yang dibuatnya dengan tangannya yang jahat adalah benda yang mati. Dia sendiri lebih baik daripada barang-barang pujaannya, oleh sebab dia bernyawa, sedangkan benda-benda itu sama sekali tidak.

Kebijaksanaan Salomo 15