Kebijaksanaan Salomo 15:2-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Bahkan kalau kami berdosa, kami tetap milik-Mu kerana kami mengakui kekuasaan-Mu. Tetapi kami tidak mahu berdosa kerana sedar bahawa kami milik-Mu;

3. dengan mengenali Engkau adalah kebajikan yang sempurna dan mengakui kekuasaan-Mu adalah permulaan hidup kekal.

4. Memang kami tidak disesatkan oleh hasil kesenian manusia yang bermaksud jahat atau oleh lukisan yang tidak berguna buatan seorang seniman atau oleh gambar yang dicat beraneka warna.

5. Benda-benda itu merangsang nafsu seorang bodoh yang melihatnya, sehingga dia merindukan gambar yang mati dan tidak bernyawa.

6. Semua yang membuat patung berhala atau menginginkannya atau memujanya adalah pencinta kejahatan, dan patut menerima apa yang sewajarnya kerana menaruh harapan kepada benda-benda seperti itu.

7. Begitu juga seorang tukang periuk mengerjakan tanah liat. Tanah yang lembap itu dibentuknya dengan susah payah menjadi apa sahaja yang berguna bagi kita. Semua periuk dibuat daripada tanah yang sama dengan cara yang serupa, entah untuk keperluan luhur atau keperluan hina. Pembuat periuk itu menentukan kegunaan setiap barangannya.

8. Daripada tanah liat itu juga dia mengusahakan sesuatu yang jahat, iaitu membentuk patung berhala yang tidak berguna. Padahal dia sendiri manusia yang tidak lama sebelumnya dibentuk daripada tanah juga. Tidak lama lagi dia harus mengembalikan nyawa yang selama ini dipinjamnya, dan dia kembali ke tanah asalnya.

9. Hidupnya singkat. Sebentar lagi dia mati, tetapi dia tidak peduli. Dia mahu bersaing dengan tukang emas, tukang perak, dan penuang gangsa. Dia berasa bangga dapat membuat barang tiruan.

10. Hatinya daripada abu dan harapannya lebih hina daripada debu. Hidupnya kurang berharga daripada tanah liat,

11. oleh sebab dia tidak mengenali Allah yang membentuknya, yang menghembuskan nyawa dan nafas kehidupan ke dalamnya.

12. Hidup manusia dianggapnya permainan belaka, suatu pasar yang membawa untung. Fikirnya dia harus mencari keuntungan dengan cara apa sahaja, bahkan dengan berbuat jahat.

13. Tukang periuk itu membuat belanga yang rapuh dan patung berhala daripada bahan tanah yang sama. Dia lebih tahu daripada orang lain bahawa dia berdosa.

14. Tetapi yang paling bodoh dan lebih malang daripada anak kecil ialah semua musuh yang menindas umat-Mu.

15. Semua patung yang disembah bangsa-bangsa itu dianggap oleh mereka tuhan, walaupun patung-patung itu tidak dapat melihat dengan matanya, tidak dapat bernafas dengan hidungnya, tidak dapat mendengar dengan telinganya, tidak dapat meraba dengan jarinya, dan tidak dapat berjalan dengan kakinya.

16. Semua patung itu buatan manusia yang jiwa mereka sendiri hanya pinjaman sahaja. Tidak ada seorang manusia yang dapat membuat suatu berhala yang bernyawa seperti dirinya.

17. Dia makhluk yang fana, maka apa sahaja yang dibuatnya dengan tangannya yang jahat adalah benda yang mati. Dia sendiri lebih baik daripada barang-barang pujaannya, oleh sebab dia bernyawa, sedangkan benda-benda itu sama sekali tidak.

Kebijaksanaan Salomo 15