Kebijaksanaan Salomo 15:1-7 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Tetapi Engkau, Allah kami, baik hati, setia, dan sabar. Engkau memerintah segala-galanya dengan penuh kasih sayang.

2. Bahkan kalau kami berdosa, kami tetap milik-Mu kerana kami mengakui kekuasaan-Mu. Tetapi kami tidak mahu berdosa kerana sedar bahawa kami milik-Mu;

3. dengan mengenali Engkau adalah kebajikan yang sempurna dan mengakui kekuasaan-Mu adalah permulaan hidup kekal.

4. Memang kami tidak disesatkan oleh hasil kesenian manusia yang bermaksud jahat atau oleh lukisan yang tidak berguna buatan seorang seniman atau oleh gambar yang dicat beraneka warna.

5. Benda-benda itu merangsang nafsu seorang bodoh yang melihatnya, sehingga dia merindukan gambar yang mati dan tidak bernyawa.

6. Semua yang membuat patung berhala atau menginginkannya atau memujanya adalah pencinta kejahatan, dan patut menerima apa yang sewajarnya kerana menaruh harapan kepada benda-benda seperti itu.

7. Begitu juga seorang tukang periuk mengerjakan tanah liat. Tanah yang lembap itu dibentuknya dengan susah payah menjadi apa sahaja yang berguna bagi kita. Semua periuk dibuat daripada tanah yang sama dengan cara yang serupa, entah untuk keperluan luhur atau keperluan hina. Pembuat periuk itu menentukan kegunaan setiap barangannya.

Kebijaksanaan Salomo 15