Kebijaksanaan Salomo 14:19-31 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

19. Seniman yang barangkali ingin mengambil hati raja, membuat gambaran yang lebih indah daripada orangnya.

20. Karya seni itu memikat hati rakyat sehingga yang mula-mula dihormati sebagai manusia, sekarang dianggap patut dipuja.

21. Hal itu menjadi perangkap bagi manusia, kerana orang yang tertekan oleh malapetaka atau tertindas di bawah kekuasaan raja, mengambil barang-barang daripada batu dan kayu dan menghormatinya sebagai Allah.

22. Selanjutnya, belum cukup bahawa mereka sesat dalam pendapat mereka tentang Allah. Sementara hidup dalam pergelutan kerana kebodohan mereka, keadaan buruk itu disebut oleh mereka sebagai damai.

23. Mereka mengadakan upacara-upacara perlantikan disertai pembunuhan anak-anak, atau upacara-upacara ghaib yang penuh rahsia, atau perjamuan kegila-gilaan disertai adat istiadat yang ganjil.

24. Mereka tidak lagi memelihara kesucian kehidupan dan perkahwinan, melainkan saling membunuh dengan curang atau saling menyusahkan dengan zina.

25. Di mana-mana merajalela pembunuhan dan pertumpahan darah, perompakan, penipuan, rasuah, tipu muslihat, kekacauan dan sumpah dusta,

26. gangguan terhadap orang baik, tidak tahu berterima kasih, kemerosotan akhlak, pencabulan, perceraian, zina, dan kejahatan.

27. Pemujaan berhala yang namanya tidak patut disebut merupakan awal dan akhir, serta sebab dan akibat daripada setiap kejahatan.

28. Pemuja-pemuja berhala tidak mengawal diri kerana keghairahan. Ada yang meramalkan kebohongan dan ada pula yang hidup jahat atau bersumpah dusta.

29. Oleh sebab mereka percaya kepada berhala-berhala yang tidak bernyawa, mereka tidak menyangka akan dihukum kerana bersumpah dusta.

30. Tetapi akhirnya mereka akan dihukum juga kerana dua alasan. Pertama, kerana mereka mempunyai fikiran salah tentang Allah dengan memuja berhala. Kedua, kerana mereka meremehkan kesucian dengan bersumpah dusta untuk menipu orang.

31. Kalau orang jahat berbuat dosa, mereka pasti dihukum, bukan kerana kekuasaan berhala yang diberi sumpah, tetapi kerana sebagai orang yang berdosa mereka layak dihukum.

Kebijaksanaan Salomo 14