Kebijaksanaan Salomo 14:14-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

14. Berhala muncul di dunia kerana angan-angan manusia, maka itulah sebabnya kesudahannya yang segera telah dirancang.

15. Ada seorang bapa yang ditimpa kesedihan besar kerana kematian anaknya. Maka dibuatnya patung menyerupai anaknya yang meninggal sebelum waktunya. Manusia yang tadinya mayat, dihormatinya sebagai tuhan dan orang bawahannya diperintahkan supaya mengadakan kebaktian dan upacara.

16. Lama kelamaan kebiasaan jahat itu semakin kuat dan dijadikan undang-undang. Dengan perintah para penguasa, patung-patung pahatan disembah.

17. Orang yang tinggal jauh dari raja dan tidak dapat menghormati baginda secara langsung, membayangkan rupa raja yang dihormati oleh mereka, lalu membuat gambaran yang nyata. Dengan demikian mereka dapat dengan rajin merayu baginda, seolah-olah baginda hadir antara mereka.

18. Seniman yang gila hormat menggalakkan dan mengembangkan pemujaan itu bahkan antara orang yang tidak mengenal raja itu.

19. Seniman yang barangkali ingin mengambil hati raja, membuat gambaran yang lebih indah daripada orangnya.

20. Karya seni itu memikat hati rakyat sehingga yang mula-mula dihormati sebagai manusia, sekarang dianggap patut dipuja.

Kebijaksanaan Salomo 14